Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Duta 'online' KPKT tak libat kos tambahan - Nga
Diterbitkan:  Jun 17, 2024 4:19 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Program Sentuhan Maya atau pasukan "duta online" yang diperkenalkan dalam kalangan penjawat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak melibatkan sebarang kos tambahan.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata inisiatif dengan tujuan mempromosikan produk dan perkhidmatan KPKT dengan lebih baik itu sebaliknya boleh menelan kos ratusan ribu ringgit sekiranya menggunakan key opinion leader (KOL) daripada pihak luar.

“Duta-duta online KPKT ini ialah para sukarelawan KPKT yang teruja untuk turut serta daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah KPKT,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata program itu bertujuan membina kapasiti penjawat awam dalam penggunaan media sosial dan teknologi komunikasi baharu khususnya dalam era digitalisasi kini.

Nga berkata ia turut menyampaikan mesej jelas kepada rakyat mengenai program-program, produk serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh KPKT dan agensi di bawahnya, selain dapat memberi ruang untuk mereka menyuarakan pendapat secara terbuka dan kreatif mengenai perkhidmatan Kerajaan MADANI.

“Inisiatif-inisiatif KPKT yang mesra rakyat seperti MyKiosk 2.0 dengan sewaan di bawah RM300 sebulan, Sistem Bank Data Perumahan Negara (Teduh) Jabatan Perumahan Negara untuk semakan latar belakang pemaju, kandungan pendidikan seperti cara menggunakan alat pemadam api dengan betul, dan sebagainya adalah antara inisiatif dan kandungan yang patut dipromosikan.

“Latihan susulan juga disediakan oleh Unit Korporat dan Komunikasi KPKT untuk membantu penjawat awam menguasai media sosial masing-masing, sekali gus mengisi masa terluang selepas waktu kerja,” katanya.

Beliau berkata program dalaman itu turut membantu membina imej positif kerajaan dengan menyampaikan maklumat yang sahih serta menangkis fitnah yang berleluasa.

Khamis lepas, Nga mengumumkan penubuhan pasukan "duta online" itu yang terdiri daripada 200 kakitangan kementerian berkenaan bagi menangkis fitnah dan menyampaikan maklumat sahih serta dasar-dasar kerajaan secara efektif.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS