Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hentikan intimidasi terhadap Borneo Komrad, Sekolah Alternatif - PSM
Diterbitkan:  Jun 17, 2024 3:41 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mahu pihak polis segera menghentikan intimidasi terhadap guru dan pelajar Sekolah Alternatif  - sekolah untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan - dan aktivis NGO, Borneo Komrad yang berpangkalan di Sabah.

Desakan itu dibuat susulan penahanan seorang guru dan lapan pelajar berikutan perhimpunan di luar Menara Kinabalu di Kota Kinabalu, Sabah, Sabtu lalu.

A Sivarajan

“Mengapa sembilan orang, termasuk tiga pelajar bawah umur ditahan dan direman selama 14 hari?” soal Setiausaha Agung PSM A Sivarajan menerusi satu kenyataan hari ini.

“Apa jua isu dokumentasi diri harus diurus secara membantu pelajar bukannya dengan tahan dan reman. 

“Ini merupakan intimidasi atas rakyat yang mengamalkan hak demokrasi mereka secara aman,” katanya.

Sivarajan seterusnya mendesak agar semua pelajar berkenaan dibebaskan segera tanpa dakwaan.

“Intimidasi sedemikian atas aktivis yang menyuarakan isu masyarakat dihentikan segera,” katanya lagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Kasim Muda, yang mengesahkan tangkapan itu  berkata, "sembilan individu tanpa dokumen" ditahan susulan pemeriksaan yang dijalankan di perhimpunan #KamiMahuAirSabah di luar Menara Kinabalu.

Menurut Kasim, guru terbabit yang dikenali sebagai Syahfeeq Rondin dan pelajar berkenaan mengambil bahagian dalam protes untuk mengetengahkan masalah air Sabah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS