Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Jangan terpukau dengan kemewahan dunia
Diterbitkan:  Jun 17, 2024 12:43 PM
Dikemaskini: 4:43 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam agar menghayati mesej kesederhanaan yang dipaculkan dalam ibadah haji agar umat Islam sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan tarikan kemewahan dunia yang sementara. 

"Jangan kita terpesong dari tujuan. Dunia harus menjadi jambatan menuju negeri abadi," katanya dalam perutusan Hari Raya Aidiladha yang disambut hari ini.

Anwar berkata peluang mengembara ke Makkah untuk menunaikan haji merupakan antara kurniaan besar Allah SWT kepada hamba-Nya selain mengenang manasik haji sebagai salah satu rukun Islam.

Katanya namun harus diingat, haji mempunyai maqasid kerohanian yang tersendiri, bertujuan mengubah jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana.

Menurutnya ketika berihram dengan pakaian serba putih yang kosong, jemaah diasuh dengan nilai kebersihan dan kesederhanaan, manakala segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan. 

Anwar berkata begitu juga wuquf di Arafah yang merupakan satu perhimpunan raksasa tanpa mengira status, darjat dan pangkat, yang membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Allah SWT.

"Inilah tonggak kekuatan haji yang tidak tertandingkan, terpancar menerusi penghayatan dan amalan," katanya.

Dalam pada meraikan kemeriahan Aidiladha, Perdana Menteri turut mengingatkan umat Islam supaya tidak melupakan golongan asnaf dengan berkongsi nikmat Tuhan dan membahagiakan mereka dengan mengerjakan ibadah korban.

Beliau turut mendoakan para jemaah yang kini berada di Makkah supaya beroleh haji yang mabrur dan pulang ke tanah air dengan sejahtera.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS