Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Saya jadi sasaran mudah kerana kemarahan terhadap Langkah Sheraton’
Diterbitkan:  Jun 17, 2024 12:29 PM
Dikemaskini: 4:29 AM

Bekas speaker Dewan Rakyat Azhar Harun mendakwa dirinya menjadi sasaran pada hari pertama sidang parlimen kerana kemarahan ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) setelah digulingkan susulan Langkah Sheraton pada 2020.

Bercakap dalam program bual bicara bertajuk “Bersama Wan Saiful” semalam, yang dihoskan oleh ahli Parlimen Bersatu itu, dia mengimbas kembali hari pertama dilantik sebagai speaker pada Julai 2020, apabila dia terpaksa mengarah ahli Parlimen Shah Alam ketika itu Khalid Samad keluar dari dewan.

Azhar berkata dia menjadi "sasaran mudah" kerana ramai daripada ahli parlimen pembangkang masih kecewa dengan pertukaran kerajaan menerusi Langkah Sheraton.

"Saya rasa secara peribadi pihak pembangkang pada waktu itu tidak ada bantahan terhadap saya menjadi speaker kerana kedua-dua pihak merupakan sahabat saya.

"Kerana mereka juga melantik saya menjadi pengerusi Suruhanjaya PilihanRaya (SPR).

"Tapi, saya rasa apa yang berlaku pada hari itu adalah kemarahan Langkah Sheraton membawa buah dan tempias terhadap saya kerana saya dituduh menjadi sebahagian daripada langkah itu," katanya.

Dipanggil barua

Pada Februari 2020, Kerajaan Pakatan Harapan tumbang selepas Bersatu meninggalkan gabungan itu dan membentuk pakatan baru bernama Perikatan Nasional bersama dengan PAS, dan BN.

Selain itu, 10 ahli parlimen PKR turut berpaling tadah dan melompat. Mereka, termasuk bekas menteri Mohamed Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan Saifuddin Abdullah.

Tidak lama selepas itu, Azhar, yang ketika itu berkhidmat sebagai pengerusi SPR dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat selepas penyandangnya Mohamed Ariff Md Yusof telah diundi keluar.

Sehubungan itu, Azhar menafikan sebarang persepsi bahawa dia juga terlibat dalam Langkah Sheraton.

"Macam mana saya nak terlibat? Saya pengerusi SPR dan apabila terjadi langkah itu ialah langkah politik. Sama ada langkah itu betul atau salah sejarah akan menentukan," katanya.

Kembali ke hari pertamanya sebagai speaker, Azhar berkata ramai ahli parlimen berkelakuan buruk ketika itu, sambil menambah bahawa 30 hingga 40 peratus daripada mereka tidak mengikut peraturan dewan.

"Sebagai manusia biasa saya faham kemarahan mereka dan mesyuarat dewan perlu dijalankan. Saya cuma terpaksa mengarahkan ahli parlimen Shah Alam (Khalid Samad) kerana agak terlampau. Tapi, kalau ikutkan peraturan dewan ramai lagi sepatutnya di arah keluar.

"Saya dipanggil barua, tapi keesokkan hari ahli parlimen itu jumpa saya dan saya takde masalah.

"Saya tak pernah simpan dalam hati. Saya kata takpa YB. Bermula hari ini kita mula semula.

"Saya rasa (sebagai speaker) saya jalankan fungsi saya dengan sempurna," katanya lagi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS