Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rauf jawab dakwaan zon bebas kenderaan Melaka jejas peniaga
Diterbitkan:  Jun 16, 2024 6:43 PM
Dikemaskini: 10:58 AM

Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh menyoal jika polisi zon bebas kereta di negeri itu benar-benar menjejaskan pendapatan peniaga atau hanya sekadar isu politik yang dimainkan.

Rauf dipetik wawancara Sinar Harian berkata dia tidak dapat mengesahkan polisi tersebut telah mengakibatkan kerugian kepada peniaga.

Ketika ditanya bagaimana kerajaan negeri menangani perkara itu dengan peniaga kecil, Rauf menjelaskan lebih banyak kajian perlu dilakukan.

"Saya belum dapat memastikan lagi betul benar ada kerugian dalam bentuk secara ilmiahnya bentuk aliran tunai ataupun ia hanya dipolemikkan dalam bentuk parti-parti politik yang tak bersetuju dengan kerajaan yang sedia ada.

"Ia adalah satu perkara yang rumit dengan banyak faktor yang terlibat," kata Adun Umno Tanjung Bidara itu.

Pada Disember, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong menggesa kerajaan negeri untuk segera menangguhkan percubaan pelaksanaan zon bebas kenderaan di pusat bandar Melaka.

Kata wakil rakyat DAP itu, penutupan jalan selama 54 jam akan memberi kesan negatif kepada hasil perniagaan di kawasan berkenaan dan menyoal kerajaan negeri yang tidak membina jalan baru di tengah Melaka walaupun jumlah kenderaan semakin meningkat.

Pada Mei lalu, Timbalan Ketua Bersatu Melaka Mohd Yadzil Yaakub turut berkongsi video memaparkan zon bebas kereta di Bandar Hilir, yang menurutnya dahulu menjadi tumpuan pengunjung pada hujung minggu, tetapi kini hampir lengang walaupun hari Sabtu.

Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee turut membantah inisiatif itu dan tidak bersetuju dengan perubahan arah jalan di kawasan sekitar termasuk Jalan Bukit Cina.

Katanya, perubahan itu menyebabkan perniagaan di sekitar zon itu mengalami penurunan hasil sebanyak 90 peratus dan menyebabkan pemandu terperangkap dalam kesesakan selama dua jam di laluan yang biasanya hanya mengambil masa 10 minit.

Tapak warisan

Bagaimanapun, Rauf berkata jalan raya di Melaka telah dibina berabad-abad lalu dan tidak dapat diperbesarkan selepas diwartakan sebagai tapak Warisan Dunia Unesco.

Jelasnya, tindakan menaik taraf jalan akan menjejaskan struktur asal bangunan bersejarah berhampiran.

"Jadi apa yang kita buat ialah kita buat lencongan lalu lintas, hanya kepada jarak kawasan yang bersejarah ini hanya 750 meter sahaja, yang dijadikan sebagai kawasan zon bebas kenderaan," katanya.

Rauf juga berkata dia berlapang dada menerima cadangan mengenai dasar zon bebas kereta itu daripada semua pihak bagi memastikan semua mendapat manfaat.

Sebelum ini, Kerk berkata ahli parlimen Kota Melaka (Khoo), Adun Bandar Hilir Leng Chau Yen dan dirinya terlibat sesi dialog sebelum pelaksanaan perbincangan zon bebas kereta dan telah membangkitkan beberapa kebimbangan.

Ini termasuk isu kesesakan jalan raya, laluan kecemasan ke hospital dan kesan terhadap perniagaan kecil di dalam dan sekitar kawasan itu, serta kekeliruan pelancong yang memandu di kawasan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS