Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KOMENTAR | Persaudaraan antara doktor perubatan mestilah Inklusif

Saya telah dilatih oleh universiti dominan kulit hitam dengan segelintir pensyarah dari India, orang kulit putih tempatan dan beberapa pensyarah berketurunan India dari Trinidad.

Sepanjang latihan perubatan saya, saya hanya berjumpa dengan dua orang pensyarah Jamaica berketurunan Cina. MBBS almamater saya University of the West Indies (UWI) telah diiktiraf oleh Majlis Perubatan Am (GMC) UK untuk pendaftaran sebagai pengamal perubatan secara langsung di UK sehingga tahun 1998 apabila peraturan EU baharu diperkenalkan untuk menampung doktor perubatan dari negara EU yang lain.

Semasa saya sebagai pelajar perubatan, GMC pernah mengunjungi dan memeriksa keadaan hospital universiti dan memberikan amaran supaya memberhentikan pengiktirafan MBBS UWI jika taraf kelengkapan hospital tidak dinaiktarafkan.

Daripada menyalahkan "rasisme" dan "kolonialisme" oleh GMC, universiti kita mematuhi permintaan GMC dan cuba mendapatkan lebih banyak peruntukan kerajaan untuk memperbaiki keadaan hospital universiti. MBBS dari UWI kini masih boleh didaftarkan bersama GMC melalui peperiksaan PLAB. Pengiktirafan oleh GMC adalah satu kebanggaan dan cabaran yang telah diharungi oleh universiti dengan segala kaedah.

UWI juga mempunyai pengajian pasca siswazah yang terkenal. Pada masa ini DM (Doktor Perubatan) dalam Anestesiologi dari UWI diiktiraf oleh GMC dan Majlis Perubatan Ireland.

Namun begitu, ia juga mengiktiraf kebolehtukaran antara laluan selari (Parallel Pathway) dari institusi asing, terutamanya Fellowships of the Royal Colleges di UK, dengan ijazah Doktor Perubatan (DM) masing-masing dari universiti itu sendiri. UWI boleh dijadikan teladan untuk menguruskan isu berkenaan.

Oleh itu, adalah tidak wajar untuk mendakwa "rasisme" atau "kolonialisme" terhadap keengganan negara yang lebih maju untuk mengiktiraf ijazah perubatan kita sendiri apabila kita sendiri cuba mengenakan kartel ke atas profesion perubatan.

Mengenai isu hak latihan siswazah kepakaran pembedahan kardiotoraks eksklusif diberikan kepada UiTM tidak akan meningkat baikkan imej antarabangsa bidang perubatan kita secara konstruktif jika Majlis Perubatan Malaysia menolak kelayakan institusi asing lain yang lebih berprestij, seperti doktor pakar melalui latihan "laluan selari" dalam pembedahan kardiotoraks FRCS Universiti Edinburgh malah menafikan penyertaan universiti tempatan lain untuk mengadakan program pasca siswazah yang sama.

Dengan berbuat demikian, adakah ia menjadikan universiti-universiti Malaysia termasuk UiTM kelihatan lebih gagah dan canggih daripada universiti antarabangsa berprestij yang lain? Inklusiviti terhadap laluan latihan lain dengan usaha berhemat bersama bagi mengawasi standard kepakaran perubatan adalah penyelesaian kepada kontroversi sedemikian dari berlaku semula.

Saya masih ingat bahawa sewaktu saya belajar di UWI, seorang calon wanita warga Jamaica berketurunan Cina untuk pasca siswazah ijazah DM (UWI) dalam pembedahan am. Beliau menghadapi pelbagai halangan sebagai satu-satunya calon wanita dalam bidang yang didominasi kalangan lelaki. Namun begitu, beliau lulus FRCS serta menarik diri daripada program DM dan kembali sebagai pensyarah di jabatan yang sama.

Usaha mengintegrasikan kedua-dua laluan selari iaitu fellowship dan program akademik universiti mengakibatkan banyak kelebihan kepada sistem kesihatan awam. Kedua-duanya memperolehi kelebihan dan kelemahan untuk saling melengkapi antara satu sama lain.

Berbanding kursus Sarjana universiti, kelebihan yang diketahui untuk laluan selari ialah ia mendedahkan calon mereka kepada pengalaman klinikal yang lebih meluas melalui perkhidmatan dalam suasana klinikal sebenar sambil belajar sebelum berjaya dalam peperiksaan bertulis, lisan dan klinikal mereka.

Kursus Sarjana universiti lebih berorientasikan akademik, dan graduan mereka sepatutnya lebih melibatkan diri dalam penyelidikan perubatan berbanding dengan graduan berasal daripada laluan selari yang lebih berorientasikan klinikal bagi tujuan melatih kepakaran mereka secara amalan klinikal sebenarnya.

Kontroversi pengiktirafan pakar kardiotorasik dari laluan selari tidak sepatutnya berlaku, jika pihak berkuasa yang berkenan dan orang ramai memahami bahawa, walaupun pada hakikatnya ramai di antara doktor perubatan tidak ditaja oleh kerajaan Malaysia untuk menamatkan pengajian mereka, kami sentiasa berdedikasi bagi berkhidmat kepada rakyat sebagai persaudaraan profesion perubatan tanpa mengira kaum dan fahaman politik. Ini adalah salah satu etika profesional penting bagi profesion perubatan.

Berkhidmat tanpa prejudis

Sehingga hari ini, detik paling membanggakan saya sendiri dalam kerjaya perubatan saya ialah menyelamatkan seorang wanita Melayu dan bayinya semasa saya berkhidmat sebagai pegawai perubatan (MO) Obstetrik dan Ginekologi di sebuah hospital daerah.

Beliau mengalami tekanan darah tinggi yang teruk semasa mengandung dan praeklampsia, dan kemudiannya juga menghidapi kegagalan jantung dan edema pulmonari (air bertakung di dalam paru-paru).

Bila menghadapi kecemasan, kami perlu berunding untuk nasihat daripada seorang pakar O&G (pakar berkelayakan dari laluan selari luar negeri) yang menetap di hospital lain yang memakan masa perjalanan selama 2 jam. Para pembaca boleh membayangkan betapa tekanannya terhadap saya pada ketika itu.

Saya berharap doktor pakar terbabit akan mengarahkan saya supaya memindahkan pesakit ke hospitalnya, tetapi saya terkejut bila beliau mahu saya menguruskan kes yang mencabar ini di hospital yang saya sedang berada.

Dalam keadaan panik, saya juga terlupa sumber bantuan terdekat yang boleh didapatkan oleh saya. Saya berunding dengan rakan MO sekerja yang mengingatkan saya bahawa kami mempunyai seorang doktor pakar perubatan dalam hospital kami (berkelulusan program Sarjana universiti tempatan) yang boleh membantu kami bagi mengawal tekanan darah tinggi dan kegagalan jantungnya sebelum saya boleh meneruskan pembedahan Caesarean Section.

Doktor pakar berkenaan membantu kami menstabilkan tekanan darah pesakit dan merawati edema pulmonarinya supaya saya dapat menjalankan penbedahan Caesarian Section dengan segera.

MO anestetik terpaksa memberikan pesakit anestesia epidural selain dari anestesia am kerana pesakit berada dalam keadaan yang tenat, manakala pakar anestesia (juga doktor pakar graduan dari laluan selari luar negara) memberikan arahan dari hospital lain sejauh perjalanan 4 jam jika memandu kereta.

Kami mempunyai pasukan pegawai perubatan yang hebat terdiri daripada kedua-dua graduan universiti tempatan dan luar negara, dan doktor pakar dari kedua-dua berkelulusan laluan selari luar negara dan ijazah Sarjana universiti tempatan untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa prejudis, tanpa mengira status sosial dan kaum.

Selepas pembedahan Caesarean Section, saya menahan pesakit ibu Melayu itu selama lebih daripada sebulan di dalam wad, dan enggan mendiscaj beliau kerana beliau masih mengalami proteinuria.

Ibu berkenaan sentiasa merayu kepada saya supaya membenarkannya balik rumah awal pada setiap masa saya membuat pusingan wad. Walau bagaimanapun, mengikut garis panduan pada waktu itu, pesakit preeklampsia perlu ditahan di bawah pemerhatian rapi jika mereka didapati menunjukkan sedikit pun proteinuria.

Saya hanya bersikap ortodoks dan lebih berhemah memandangkan hakikat bahawa pesakit itu tinggal di skim Felda terpencil di mana beliau memerlukan perjalanan lebih daripada 2 jam ke kemudahan perubatan terdekat yang sedia ada.

Kemudian rakan sekerja MO saya membenarkannya keluar dari hospital apabila saya tidak bertugas. Sebagai seorang doktor wanita Melayu, beliau mungkin lebih merasai keperluan emosi seorang ibu Melayu untuk bersama keluarganya.

Saya membantah dengan senyuman dan kenyitan mata sebab saya memahami bahawa beliau cuba membantu dengan mengeluarkan pesakit itu bagi meringankan sedikit tekanan yang dialami saya.

Ini adalah saat yang indah bagaimana persaudaraan kami bekerja bersama sebagai satu pasukan tanpa mengira kaum, jantina dan latar belakang akademik, tetapi untuk kepentingan dan nyawa pesakit kami.

Saat yang paling indah dan membanggakan dalam kerjaya perubatan saya ialah apabila suaminya datang dengan membawa sejambak bunga dan bakul buah-buahan untuk saya pada lawatan susulan pesakit tersebut!

Perbuatan mereka mengejutkan saya kerana, pada pendapat saya, saya cuma menjalankan tugas saya seperti rutin biasa.

Saya berasa sangat gembira pada hari itu seolah-olah saya baru sahaja menerima satu anugerah, maka saya berkongsi buah-buahan pemberiannya dengan para jururawat dan bidan kami yang amat gembira dengan apa yang telah kami capai sebagai satu pasukan.

Persaudaraan perubatan perlu inklusif dan berhemat untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa prejudis mengikut etika kita. Malangnya, kontroversi kegagalan bagi mengiktiraf pakar kardiotoraks dari laluan selari baru-baru ini tidak sepatutnya timbul sama sekali jika kita berhasrat serius untuk meningkatkan taraf perkhidmatan perubatan awam serta melihat profesion perubatan sebagai saluran untuk berkhidmat kepada rakyat, bukannya platform untuk sesetengah menunjukkan kuasa mereka.

Alasan politik lapuk

Adalah tidak berasas untuk mengatakan bahawa GMC UK tidak mengiktiraf MBBS dan ijazah pascasiswazah kerana "rasisme" dan "kolonialisme". Pengiktirafan ijazah MBBS Universiti Malaya telah diberhentikan pada tahun 1985 berasaskan fakta bahawa kuota kaum selain daripada merit digunakan dalam pengambilan pelajarnya.

Jika UiTM terus mengamalkan dasar yang terdiri daripada pelajar satu kaum sahaja, ia akan menjadi kurang produktif untuk UiTM mendapatkan sebarang pengiktirafan antarabangsa berprestij sebagai institusi pengajian tinggi yang berwibawa, termasuk program pasca siswazah pembedahan kardiotoraksnya.

Naratif bahawa program selari FRCS Edinburgh (Pembedahan Kardiotorasik) tidak boleh didaftarkan dengan GMC merupakan suatu kenyataan terpesong. Semua calon FRCSEd asing menduduki peperiksaan versi antarabangsa yang setaraf dengan versi domestiknya di UK, tetapi UK melaksanakan perbezaan sosial tertentu di antara mereka bagi tujuan selaras dengan dasar imigresen kerajaan semasa.

Untuk mana-mana negara, doktor pakar asing dibenarkan berdaftar dan diberikan lesen untuk menjadi pengamal perubatan, mereka perlu dipastikan melalui proses membiasakan diri kepada sistem kesihatan tempatan, komunikasi dengan kakitangan perubatan lain dan persekitaran klinikal sebenar.

Dan selalunya dasar imigresen sesebuah negara memainkan peranan penting dalam keputusan sama ada negara terbabit ingin perkhidmatan doktor asing, dan ia jarang berkaitan dengan kelayakan akademik.

MMC nampaknya menafsirkan fakta secara terpesong. Empat orang pakar bedah kardiotoraks telah dilatih secara setempat di IJN yang berprestij semasa mengambil bahagian dalam peperiksaan FRCS Edinburgh versi antarabangsa yang terkenal dari segi akademik.

Itu bukan sahaja memberikan mereka keperluan akademik yang kompeten, tetapi mereka juga telah lama menyesuaikan diri dengan situasi klinikal domestik, dan sepatutnya dibenarkan berkhidmat secepat mungkin dalam sistem perkhidmatan kesihatan awam yang menghadapi kekurangan pakar bedah kardiotoraks.

Namun begitu, di sebalik dakwaan "rasisme" dan "kolonialisme", saya terkejut apabila mengetahui bahawa Ijazah Sarjana dalam bidang Anestesiologi Universiti Sains Malaysia pernah diiktiraf oleh GMC (untuk tujuan pendaftaran terus) untuk tempoh masa tertentu dahulu.

Begitu juga DM University of the West Indies dalam bidang Anestesiologi masih diiktiraf oleh GMC dan Majlis Perubatan Ireland. Nampaknya UK menghadapi kekurangan pakar bius dan pakar dalam beberapa bidang lain.

Sebelum ini, disebabkan UK perlu mengisi kekosongan doktor pakar dengan memberikan keutamaan kepada doktor pakar dari negara-negara EU. Selepas Brexit, ia dijangka akan menumpukan semula bagi menerima lebih ramai doktor pakar dari Negara Komanwel British disebabkan perubahan dalam landskap politik semasa dan keperluan mereka untuk doktor pakar dalam bidang tertentu.

Universiti-universiti Malaysia lain seharusnya mengkaji sebab-sebab Sarjana Anestesiologi USM pernah diiktiraf oleh GMC, manakala MBBS dan Sarjana lain tidak, selain dari percubaan mencari beribu alasan politik yang pincang seperti "rasisme" dan "kolonialisme".

Pengiktirafan di luar negara bagi MBBS tempatan dan program ijazah perubatan pasca siswazah akan meningkatkan latihan pakar perubatan pasca siswazah kita sendiri dan meningkatkan kapasiti penyelidikan perubatan kita melalui kerjasama yang lebih rapat dengan negara maju dalam bidang perubatan.

Memberi pengiktirafan laluan selari kardiotoraks eksklusif kepada UiTM dan merendahkan maruah graduan institusi asing lain tidak dapat merapatkan persaudaraan doktor perubatan supaya profesion perubatan lebih bersepadu.

Ia bukan sahaja memecahbelahkan bangsa kita, tetapi menjejaskan kedudukan antarabangsa negara kita sebagai hab penyelidikan perubatan yang canggih disebabkan pendekatan memperkenalkan politik dan kartel yang kurang produktif ke dalam institusi pengajian tinggi.

Kegagalan mengiktiraf laluan selari kardiotoraks FRCSEd dalam masa singkat merupakan satu pengajaran untuk kita menyedari kelemahan pemikiran dan penstrukturan institusi pengajian tinggi dalam negara.


DR BOO CHENG HAU ialah doktor perubatan dan Adun Skudai selama dua penggal.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS