Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis lumpuhkan sindiket penipuan guna fail APK

Polis berjaya melumpuhkan sindiket penipuan yang menggunakan fail aplikasi (APK) susulan dua lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di Pulau Pinang dan Johor pada Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata kedua-dua individu terbabit berumur 27 dan 48 tahun serta pihaknya merampas tiga telefon bimbit, pasport, kad pengenalan dan jam tangan dengan rampasan dianggarkan bernilai RM6,000.

Dia berkata siasatan mendapati dua lelaki itu disyaki ahli sindiket “Trojan Spymax” yang terlibat secara langsung dengan sindiket penipuan di rantau Asia khususnya di Singapura dengan berperanan sebagai penjual malware (perisian hasad) dan pengurus sewaan server (pelayan) yang menempatkan fail APK.

“Hasil siasatan, sindiket ini menawarkan jualan produk dan perkhidmatan melalui media sosial Facebook, Instagram dan seumpamanya dengan mangsa yang berminat untuk membeli produk akan diberikan pautan fail apk (android package kit) yang perlu dipasang (install) ke telefon mereka sebagai sebahagian daripada proses pembelian.

“Fail APK yang diberi merupakan perisian bersifat malicious dan ia boleh menggodam telefon mangsa seterusnya memberikan akses kepada sindiket penipuan untuk membaca one time password (otp) pada sistem pesanan ringkas, screen mirror, contact list, dan remote access kepada peranti milik mangsa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Ramli berkata kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak Interpol untuk diekstradisi ke Singapura bagi tujuan pendakwaan.

Dia berkata operasi terbabit merupakan hasil kerjasama selama setahun bersama polis Singapura dalam mengenal pasti, mengumpul dan mengesahkan identiti ahli sindiket yang berselindung di sebalik teknologi, sekali gus berjaya melumpuhkan infrastruktur dan gerak kerja sindiket malware APK di rantau ini.

“Orang ramai diminta supaya berhati-hati ketika memuat turun dan memasang sebarang perisian pada peranti masing-masing.

“Sebarang muat turun fail aplikasi ke telefon pintar hendaklah dilakukan melalui platform yang selamat seperti Google Play dan App Store sahaja,” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS