Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar antara ditahan polis di Menara Kinabalu, dakwa NGO
Diterbitkan:  Jun 15, 2024 4:25 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Pengasas Borneo Komrad yang berpangkalan di Sabah, Mukmin Nantang, memberitahu sembilan orang dilaporkan ditahan polis Kota Kinabalu malam tadi.

Katanya mereka terdiri daripada seorang guru dan lapan pelajar Sekolah Alternatif yang menyediakan pendidikan untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan.

Dalam catatan Facebooknya, Mukmin berkata, guru terbabit dikenali sebagai Syahfeeq Rondin dan ditahan pihak berkuasa kerana membawa lapan pelajar terbabit - yang tidak dinamakan - ke Kota Kinabalu.

"Pelajar yang ditahan itu adalah anak yang lahir di Sabah dan mendapat pendidikan di Sekolah Alternatif seawal 2017.

"Mereka menunjukkan bukti dokumen seperti kad surat lepa (Bajau Laut), kad klinik, surat JKM, surat pengesahan ketua kampung dan kad pelajar," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda yang mengesahkan tangkapan itu malam tadi berkata, "sembilan individu tanpa dokumen" ditahan susulan pemeriksaan yang dijalankan di perhimpunan #KamiMahuAirSabah di luar Menara Kinabalu.

Menurut Kasim, Syahfeeq dan pelajar terbabit mengambil bahagian dalam protes untuk mengetengahkan masalah air Sabah.

Mukmin bagaimanapun mendakwa kehadiran mereka adalah sebagai sebahagian daripada lawatan dianjurkan oleh Borneo Komrad untuk membentuk "Alternatif Universiti" dan "Kesatuan Tanpa Negara" yang diharap menjadi platform untuk memperkasakan komuniti tanpa kerakyatan tempatan.

"Lapan orang pelajar ini mewakili ratusan ribu kanak-kanak yang terpinggir dan tertindas di tanah air ini.

"Mereka sanggup mendepani risiko ini demi menghantar mesej kepada Malaysia dan dunia untuk memandang ke Sabah dan melihat isu yang maha kejam ini berlaku kepada masyarakat mereka selama puluhan tahun, sejak persekutuan Malaysia dibentuk.

"Di manakah keadilan untuk masyarakat mereka? Ini bukan tentang tangkapan hari ini, ini tentang tangkap dan penindasan masyarakat mereka hari-hari," katanya.

Menegaskan bahawa semua manusia mempunyai hak untuk pendidikan dan kehidupan, Mukmin berkata, Borneo Komrad akan terus berusaha membebaskan mereka yang ditangkap, selain memastikan kebajikan ahli keluarga mereka.

Baru-baru ini, Mukmin turut mendakwa operasi pengusiran dijalankan terhadap masyarakat Bajau Laut yang tinggal di tujuh pulau di Semporna - Pulau Bohey Dulang, Pulau Maiga, Pulau Bodgaya, Pulau Sebangkat, dan Pulau Sibuan.

Semalam, aktivis bersama-sama mendesak kerajaan menghentikan percubaan lanjut untuk menindas masyarakat Bajau Laut dengan memberi amaran mereka akan turun ke jalanan jika ia berterusan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS