Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
200 'Duta Online' KPKT: Tak cukup lagi bazirkan wang rakyat? - Putra
Diterbitkan:  Jun 15, 2024 1:09 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membantah keras langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menubuhkan pasukan ‘Duta Online’ seperti diumumkan baru-baru ini.

Naib Presidennya, Asmawar Samat berkata, bantahan itu juga sejajar dengan kritikan keras Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau yang menganggap tindakan KPKT itu sebagai satu pembaziran dana awam yang serius.

"Nga Kor Ming, menteri KPKT, secara sedar atau tidak, dapat dilihat telah tersalah bertindak secara silo (bersendirian) yang boleh dianggap membelakangi aspirasi kerajaan Madani yang disertainya dan kesejahteraan rakyat.

"Sebelum ini semasa (pentadbiran) BN ada Jasa dan sekarang zaman PH ada JKOM, tidak cukup lagi ke membazir wang rakyat," kata Asmawar dalam kenyataan.

Kelmarin KPKT mengumumkan penubuhan pasukan "Duta Online" untuk menangkis fitnah serta menyampaikan maklumat sahih dan polisi kerajaan secara efektif.

Menterinya Nga Kor Ming berkata pasukan itu akan menyebarkan maklumat yang sahih dan melindungi rakyat daripada fitnah menggunakan bahasa dan pendekatan lebih mudah difahami mereka.

Dia berkata seramai 200 kakitangan KPKT telah dipilih sebagai Duta Online berkenaan.

Bagaimanapun Gerakan mengkritik keras langkah itu dan menganggap ia sebagai pembaziran dana awam yang serius.

Dominic berkata, dalam situasi ekonomi semasa, kerajaan seharusnya memberi tumpuan bagi menyelesaikan masalah rakyat dan bukan membelanjakan dana besar pada projek yang tidak menepati keperluan rakyat.

Dia juga mendakwa duta internet itu merupakan usaha kerajaan untuk mengawal pendapat umum dan mungkin dijadikan sebagai “tentera siber” dengan menggunakan cukai rakyat untuk menekan suara berbeza.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS