GLOBAL | Seorang qari terkemuka dari Kuwait menunjukkan teladan yang dipuji ramai apabila mengelak daripada menjawab persoalan yang berada di luar bidang ilmu yang dipelarinya.
Mengakui dia sering diajukan persoalan berkaitan agama, Mishary Rashid al-Afasy bahkan meminta pihak yang bertanya itu merujuk kepada tokoh yang sesuai dengan kemusykilan yang dibangkitkan.
Katanya memberikan jawapan kepada persoalan berkaitan ilmu yang bukan bidangnya memungkinkan dia berkata sesuatu yang salah.
“Seawal saya membuka akaun di Twitter, saya memberitahu semua orang bahawa saya bukan mufti.
“Walaupun saya sudah menjadi imam solat di masjid semenjak 1990, saya tidak pernah menjawab soalan agama daripada mereka,” katanya dalam temu bual itu ABtalks yang disiarkan melalui saluran YouTube.
Program berkenaan dihoskan pempengaruh Timur Tengah, Anas Bukhasy, dan mereka bersiaran dari Emiriah Arab Bersatu.
Penjelasan Mishary tular ketika ada beberapa personaliti di negara ini dipertikaikan kewajaran mereka menjawab atau mengeluarkan pandangan berkaitan isu agama ketika apa yang dibangkitkan itu adalah di luar disiplin pengajian mereka.
Malah sesetengah pihak turut mempertanyakan kredibiliti personaliti tertentu - sesetengahnya digelar sebagai pendakwah selebriti - menghuraikan isu fikah atau hadis.
Menurut Mishary bidang pengkhususannya hanyalah qiraat al-Quran.
Justeru, katanya, dia hanya akan membantu memberi pencerahan kepada orang ramai yang bertanya dalam ruang lingkup ilmu tersebut.
Selain qari, Mishary juga dikenali sebagai penyanyi nasyid dari Kuwait dan menjadi imam di Masjid Al-Kabir yang merupakan masjid yang terbesar di negara tersebut.
Dia mendapat pendidikan dalam bidang al-Quran di Universiti Islam Madinah, dengan pengkhususan dalam sepuluh qira'at dan tafsir.
Pada 25 Oktober 2008, Mishary dianugerahkan Arab Creativity Oscar pertama oleh Kesatuan Kreativiti Arab di Mesir.
Anugerah berkenaan ditaja mantan Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa, sebagai pengiktirafan terhadap peranan Mishary mempromosikan nilai-nilai Islam melalui teknologi dan seni.
Mishary juga mengendalikan dua saluran TV khusus untuk mempelajari bacaan al-Quran, iaitu Alafasy TV dan Alafasy Q.