Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penularan tangkap layar imej didakwa sebagai kertas siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin pada 6 Dis lepas.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata tindakan itu perlu bagi mengekang sebarang spekulasi dalam kalangan masyarakat dan pihak yang melakukan perbuatan tersebut boleh diambil tindakan.
“Saya akan minta pihak MCMC berhubung dengan PDRM sekiranya ada tindakan yang perlu diambil... kita tidak tahu sama ada maklumat itu betul atau tidak.
"Sekiranya benar, perlu ada pihak memberikan penjelasan dan jika tidak benar mereka tersebut perlu diambil tindakan,” katanya mengulas tindakan sebuah saluran di Telegram memaparkan tangkap layar itu.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas program sembang santai bersama Komuniti Madani Parlimen Pulai di Johor Bahru hari ini.
Menurut Fahmi setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat daripada MCMC berkaitan isu itu memandangkan ia baru berlaku.
Fahmi turut menasihati orang ramai agar tidak mendahului mahkamah dalam menghakimi kes tersebut sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa dan mahkamah untuk menjalankan tanggungjawab mereka.
Semalam, pasangan suami isteri Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik terbabit dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada Dis tahun lalu.
Mahkamah kemudiannya memutuskan masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan kes.
- Bernama