Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin mendakwa kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa penyasaran subsidi diesel hanya akan menjejaskan golongan maha kaya dan warga asing, jelas tidak boleh dipercayai.
Menurut Presiden Bersatu itu, kenyataan Anwar itu juga salah sama sekali kerana sehari selepas kenaikan harga diesel kepada RM3.35 seliter, peniaga bertindak menaikkan harga barangan mereka.
“Ini kerana subsidi diesel bersasar diberikan kepada kenderaan komersil tertentu untuk membendung kenaikan harga barang.
“Maka kononnya rakyat biasa takkan terjejas. Tak sampai beberapa hari subsidi diesel ditarik balik kita lihat syarikat penunda kenderaan menaikkan harga perkhidmatan mereka.
“Adakah golongan maha kaya saja yang kenderaan mereka rosak di tengah jalan? Kereta orang miskin tak rosak?” soalnya lagi dalam kenyataan, di Facebook, hari ini.
Kata Ahli Parlimen Pagoh itu, harga sayuran dan harga barang pembinaan juga turut didapati meningkat.
“Pengeluar konkrit juga menaikkan harga konkrit. Sudah pasti harga rumah akan meningkat selepas ini. Adakah golongan maha kaya saja yang beli rumah? Orang lain tak beli rumah?
“Saya tengok harga sayur-sayuran seperti timun, cili, sawi juga naik. Adakah golongan maha kaya saja makan sayur. Orang miskin tak makan sayur? Cakap dia (Anwar) kita tak boleh percaya,” kata bekas perdana menteri itu lagi.
Kementerian Kewangan pada Ahad lalu mengumumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia kekal pada paras RM3.35 seliter manakala Sabah, Sarawak dan Labuan kekal dengan harga RM2.15 seliter bagi tempoh 13 hingga 19 Jun 2024.
Bagaimanapun, petrol bagi RON97 dan RON95 masing-masing kekal pada paras RM3.47 seliter serta RM2.05 seliter.
Menurut MOF, kerajaan akan terus memantau harga minyak mentah dunia bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.