Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Subsidi diesel: PKR Perlis tegur poster 'salah' JKOM
Diterbitkan:  Jun 14, 2024 12:04 PM
Dikemaskini: 8:17 AM
  • Dikemas kini dengan penjelasan Amin Ahmad berkenaan ciapannya yang telah dipadam.


Lain diingin lain yang jadi.

Hasrat Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) membela tindakan kerajaan menyasarkan semula pemberian subsidi diesel mendapat teguran pemimpin prokerajaan sendiri.

Pengerusi PKR Perlis Amin Ahmad antara pihak yang menegur jabatan bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu atas alasan memberikan gambaran salah.

Dia berkata demikian ketika mengulas poster digital JKOM yang antaranya menyebut kerajaan menjimatkan RM60.6 billion daripada penjimatan subsidi susulan langkah drastik itu.

“Poster ni berikan gambaran salah. Penjimatan tidaklah sampai RM60 billion. Kan ada subsidi bersasar?

“Kita bukan nak hapuskan semua subsidi,” kata bekas anggota parlimen Kangar itu di X.

Ciapan itu bagaimanapun kini tidak lagi terdapat di media sosialnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Amin menjelaskan dia telah memadam ciapan tersebut kerana salah faham yang berlaku telah diselesaikan.

“JKOM pun dah padam hantarannya dan saya pun dah dimaklumkan oleh JKOM bahawa poster itu adalah poster lama yang disalah muat naik.

“Itu saja. Jadi, (bila) dia pun dah padam tak apalah, saya pun dah tegur. Itu saja,” kata Amin.

Amin Ahmad

Poster JKOM itu antarnya menyebut, dengan penjimatan itu kerajaan boleh membina 110 hospital, 700 sekolah dan 242,000 rumah mampu milik.

Terdahulu pelbagai pihak turut tampil mempertikaikan poster itu.

Harga diesel di semenanjung diapungkan sejak lima hari lepas dan dijual pada kadar RM3.35 seliter.

Kenaikan itu dibuat susulan penyelarasan semula subsidi bahan bakar itu bagi mengelakkan penyeludupan dan mengurangkan kos kerajaan.

Subsidi kini akan disalurkan terus dalam bentuk tunai secara bulanan kepada pengguna kenderaan diesel yang layak.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata penyasaran semula subsidi diesel dapat menjimatkan kantung kerajaan sebanyak RM4 billion setahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS