Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyasaran subsidi: Menteri panggil 10 syarikat umum naikkan harga

Sepuluh syarikat yang membuat pengumuman menaikkan harga barang dan perkhidmatan pasca penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lepas telah dipanggil untuk memberi penjelasan kewajaran tindakan itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata siasatan awal mendapati permohonan fleet card oleh empat daripada syarikat berkenaan telah diluluskan, namun syarikat berkenaan tetap mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan.

"Baki enam syarikat lagi mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, setiap syarikat akan diminta memberikan perincian maklumat termasuk dokumen-dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan.

"Kegagalan untuk hadir boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 Akta 723 berkenaan," katanya.

Armizan berkata 10 syarikat terbabit telah diberikan notis bertulis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, dan dua syarikat telah pun dipanggil semalam manakala selebihnya akan menyusul.

Dia berkata syarikat-syarikat itu terdiri daripada sektor pengangkutan dan sektor bahan binaan masing-masing tiga syarikat, serta sektor makanan dan minuman dan sektor sewaan jentera masing-masing dua syarikat.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan Ops Kesan 2.0 pada 8 Jun lepas.

Armizan berkata KPDN memberikan amaran kepada semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan.

Dia berkata pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan yang tegas di bawah Akta 723 dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat, manakala bagi individu boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS