Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam pertimbang tuntut 'perlindungan tambahan' untuk ibu bapa Zayn

Peguam yang mewakili ibu bapa kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, tidak menolak kemungkinan meminta perlindungan tambahan daripada pihak polis terhadap anak guam mereka yang kini dibebaskan dengan jaminan.

Ini susulan tindakan pemberi maklumat “Edisi Siasat” membocorkan apa yang didakwa sebagai diari siasatan polis berkaitan kes terhadap Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, kurang 24 jam selepas pasangan itu didakwa di Mahkamah Sesyen.

Zaim diwakili oleh peguam Fahmi Abd Moin manakala Ismanira diwakili peguam Mahmud Jumaat..

“Setakat ini kami memantau situasi, dan jika keadaan menjadi serius dengan kemungkinan bahaya kepada klien saya, saya akan berbincang (lebih lanjut) dengan klien saya,” kata Fahmi kepada Malaysiakini.

“Boleh jadi, boleh jadi,” katanya ketika ditanya kemungkinan memerlukan perlindungan tambahan daripada polis, memandangkan kes ini berprofil tinggi.

Ketika dihubungi, Mahmud berkata dia juga akan mempertimbangkan untuk meminta perlindungan tambahan bagi Ismanira.

“Saya bukan sahaja bimbang tentang keselamatan (fizikal) dia, tetapi juga tekanan mental.

“Dia dimalukan sedemikian rupa, sedangkan kita tidak tahu kesahihan kertas siasatan yang bocor itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Didakwa abai anak

Mahmud berkata dia juga berpendapat sebarang spekulasi yang dibuat mengenai kes berkenaan selepas anak guamnnya didakwa mungkin boleh dianggap menghina mahkamah atau subjudis.

Menurut kertas pertuduhan, pasangan itu didakwa secara bersama telah mengabaikan anak lelaki mereka yang berusia enam tahun, Zayn, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU Damansara Damai antara pukul 12 tengah hari pada 5 Disember dan 9.55 malam pada 6 Disember.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 undang-undang yang sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Mereka pada mulanya ditahan di sekitar Puncak Alam, Selangor pada 31 Mei, dan direman selama 13 hari mulai 1 Jun untuk membantu siasatan kes pembunuhan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS