Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap digambarkan penganalisis politik sebagai penanda aras terkini untuk menilai sama ada gelombang hijau PN masih bergelora atau pentadbiran PH di Putrajaya kian diterima rakyat.

Tiupan wisel rasmi mulai 22 Jun nanti pastinya memberi keterujaan tersendiri memandangkan Sungai Bakap adalah kerusi panas yang sebelum ini disandang wakil rakyat PAS.

Nor Zamri Latiff memenangi kerusi itu dengan majoriti kurang daripada 2,000 undi dalam pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu.

PN selaku 'juara bertahan' tentulah mahu mempertahankan kemenangan di Seberang Perai Selatan itu. Malah seboleh-bolehnya mereka ingin mengumpul majoriti lebih kali ini.

Bagi PH pula, matlamat mereka sangat mudah difahami. Mereka tentu mahu merampas kembali kerusi yang pernah menjadi kubu kuat mereka sebelum ini.

Walaupun keputusan di Sungai Bakap pada 6 Julai nanti tidak akan memberi kesan sama ada terhadap pentadbiran negeri atau persekutuan, persaingan dijangka tetap sengit.

Jika PN menang, bolehlah dianggap gelombang hijau masih berpengaruh, namun jika PH merebut kembali kerusi itu kredit besar tentunya terarah kepada pentadbiran Anwar Ibrahim di Putrajaya.

Ada ‘bola tanggung’ menanti

Berlawan di atas padang sama rata, pengadil adil dan waktu perlawanan yang sama pastinya akan mewujudkan faktor dan pemboleh ubah yang akan menyumbang ke arah kemenangan.

Di pentas politik apabila berlaku pilihan raya khususnya, tumpuan parti yang terlibat semestinya akan menyentuh isu-isu semasa yang berlegar di mata dan telinga masyarakat.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) layak mengundi di Sungai Bakap. Ia melibatkan pertambahan 870 pengundi berbanding PRN pada Ogos 2023.

Di pihak PN, naratif mengenai pentadbiran kerajaan Pulau Pinang dan Putrajaya dilihat akan menjadi peluru serangan hingga ke penghujung tempoh berkempen.

Penyasaran subsidi bahan api diesel dilihat mula menjadi bahan serangan awal dengan pelbagai kritikan dilontar susulan pelaksaannya oleh Putrajaya.

Isu sedemikian ‘bola tanggung’ yang menggiurkan untuk membawa naratif negatif terhadap kelemahan pantadbiran kerajaan persekutuan.

Walaupun ada mekanisme, kaedah dan penjelasan demi penjelasan, dalam situasi pilihan raya pihak lawan tidak sesekali menggendurkan keadaan lebih-lebih lagi dalam kerancakan kempen nanti.

Isu penarikan subsidi diesel secara bersasar itu dijangka akan menjadi ‘peluru berpandu’ ampuh buat PN menyerang kerajaan secara bertubi-tubi.

Justeru, menjadi cabaran utama jentera parti kerajaan untuk menangkis seranan berkenaan kerana pelaksanaannya dibuat menjelang PRK Sungai Bakap.

Selain itu PN juga dijangka akan menarik perhatian pengundi dengan isu program dwibahasa (DLP) yang mencetuskan kontroversi, baru-baru ini.

Perlu bekerja keras

Ia bermula apabila wakil dari 11 SMJK dan sekolah menengah Cina di Pulau Pinang mendakwa pekeliling Kementerian Pendidikan bertarikh 15 April mewajibkan mereka mengadakan sekurang-kurangnya satu kelas mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, tetapi hampir tiada pelajar menyertai kelas tersebut.

Isu itu kemudian menimbulkan polemik tersendiri termasuk di kalangan pimpinan PH yang tampil menggesa penyelesaian tuntas diambil segera.

Dalam perkembangan semasa juga, program kewarganegaraan turut menjadi tumpuan apabila program dianjur Pusat Khidmat Adun Stulang di Johor menjadi salah faham kerana dianggap sebagai usaha membantu warga asing untuk mendapatkan taraf warganegara Malaysia.

Walaupun penjelasan sudah dibuat, namun isu itu dilihat tidak akan dipandang sepi oleh pembangkang untuk menarik pengaruh lebih-lebih terhadap mereka yang tidak memahami situasi sebenar.

Selain itu, permasalahan setempat seperti isu bekalan air di kawasan Sungai Bakap khususnya juga bakal menjadi tumpuan sepanjang kempen.

Mazlan Ali

Penganalisis politik Mazlan Ali berpendapat berdasarkan perkembangan semasa, jentera PH-BN perlu bekerja keras khususnya memberi penjelasan berhubung isu rasionalisasi subsidi diesel.

“Isu rasionalisasi diesel pasti akan dimainkan di Sungai Bakap. Di pihak kerajaan perpaduan perlu lebih banyak salurkan informasi dari segi pelaksanaan dan faedah mekanisme diambil.

“Kerajaan perlu tampilkan bukti-bukti kejayaan. Misalnya aspek inflasi, peratusan pengangguran yang menurun dan jumlah pekerjaan baru diisi serta kemasukan pelaburan langsung asing (FDI).

"Semua itu perlu diberi penerangan dan diuar-uarkan kepada rakyat," katanya kepada Malaysiakini.

Dapat tumpuan lebih awal

Selain itu, tambah Mazlan, kawalan media sosial juga penting khususnya membabitkan isu 3R yang mungkin akan digunakan bukan saja pihak pembangkang dalam gerak kempen mereka, malah di sisi parti kerajaan.

Isu tersebut, katanya, wajar dikawal dan diambil tindakan.

Sementara itu, di sebalik pelbagai polemik isu semasa, pengundi juga akan meneliti calon-calon yang akan menjadi taruhan parti-parti bertanding.

Pengaruh, penampilan dan kewibawaan calon bukan saja akan menjadi nilai tambah khususnya kepada pengundi atas pagar, bahkan berfungsi sebagai faktor mengembalikan sokongan penyokong Umno yang sebelum ini menyokong PN.

Ketokohan calon sewajarnya menjadi ukuran signifikan untuk rakyat memilih seseorang yang diyakini dapat mewakili mereka di dalam DUN, selain menjadi jambatan dengan pihak-pihak berkenaan.

Langkah PH mengumumkan lebih awal calon mereka malam tadi - yang menampilkan ahli akademik, Joohari Ariffin, dilihat strategi penting diambil sebagai menarik tumpuan awal pengundi.

Tindakan itu sekurang-kurangnya dapat memberi pendedahan awal kepada untuk menilai, manakala jentera parti boleh membuat percaturan rapi bagi menghadapi strategi lawan.

Bagaimanapun parti kerajaan tidak boleh memandang rendah cabaran yang bakal dihadapi. Ada kemungkinan PAS menurunkan seseorang yang mempunyai pengaruh kuat yang mungkin sukar untuk ditepis auranya.

Sementara menanti pengumuman calon PN pada 15 Jun ini, Sungai Bakap nampaknya sudah memberi isyarat betapa kerusi di bawah kawasan parlimen Nibong Tebal itu bakal menguji sinergi dan daya saing di pihak kerajaan dan pembangkang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS