Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu air: Hujah Sanusi paling dangkal, kata Akmal
Diterbitkan:  Jun 13, 2024 6:11 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

PRK SG BAKAP | Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasir, menyelar dakwaan dibuat Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu bekalan air di kawasan DUN Sungai Bakap sebagai "paling dangkal."

Hal itu kerana, kata Akmal, Sanusi memilih memainkan isu berkenaan dari sudut pandang perkauman.

“Dalam banyak-banyak perbincangan isu bekalan air, hujah paling dangkal adalah bekalan air tak mencukupi (di Sungai Bakap) kerana kawasan tersebut adalah kawasan Melayu.

“Bukan kritik soal kompetensi, bukan langkah mitigasi yang diambil, tapi soal kaum. Dan ini yang disebutkan oleh Menteri Besar Kedah dalam ceramahnya di Sungai Bakap kelmarin.

“Kalau guna logik yang sama, Merbok, Pulau Langkawi dan banyak lagi tempat yang peratusan orang Melayunya jauh lebih tinggi berbanding di Sungai Bakap mempunyai masalah bekalan air sekian lama pun kerana ini kawasan orang Melayu,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN dilaporkan mendakwa masalah air di Seberang Perai Selatan itu belum selesai kerana berlaku diskriminasi oleh kerajaan Pulau Pinang.

“Kenapa di kawasan ini tiada air tetapi di Tanjung ada air? Ini kawasan tok lebai (penyokong PAS),” katanya seperti dilaporkan media.

Akmal berkata berbanding memainkan isu perkauman dalam ceramahnya, adalah wajar untuk Sanusi menumpukan perhatian menyiapkan lima loji rawatan air (LRA) di Kedah.

“Empat LRA dengan pemberian geran kerajaan persekutuan yang sepatutnya siap pada tahun 2023.

“Takkan nak tunggu saya turun sekali lagi?” katanya.

Sanusi Md Nor

Tambah Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi hujah Sanusi langsung tidak munasabah dan perlu dilihat dari perspektif lebih wajar.

Menjelaskan situasi isu air di Sungai Bakap, Akmal berkata, kawasan itu berada di hujung sistem bekalan air Pulau Pinang, iaitu 53 kilometer (km) dari LRA Sungai Dua yang turut menyalurkan bekalan ke daerah Seberang Perai Utara dan Tengah.

“Tujuh langkah mitigasi melalui projek kecil - naik taraf rumah pam, pasang loji kompak yang semuanya sudah siap, sedikit sebanyak redakan keadaan.

"Kerajaan negeri juga melalui Water Contingency Plan (WCP) 2030 tahun lalu merancang membina LRA Sungai Kerian dengan kos pembinaan diraih sendiri kerajaan negeri.

“Paling game changer juga sebenarnya jika water transfer antara Kerian - Seberang Perai menjadi kenyataan.

"Ini antara salah satu perkara paling awal yang saya bincangkan bersama ketua menteri Pulau Pinang sejurus saya berpindah ke Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) pada Januari yang lalu,” katanya.

Akmal berkata hasil usaha banyak pihak dengan campur tangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, cadangan peralihan air berjaya dipersetujui sekali gus mengakhiri pergantungan sumber air yang jauhnya 53km dari utara ke Sungai Bakap sejak 51 tahun.

“Paling bermakna apabila kita dapat merealisasikan rundingan water transfer dari Perak ke Pulau Pinang yang berjalan sekian lama, kita pastikan langkah seterusnya berjalan lancar,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS