Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Siasatan kes bunuh Zayn Rayyan masih diteruskan - peguam
Diterbitkan:  Jun 13, 2024 6:09 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih diteruskan sehingga pelaku sebenar ditemui.

Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili bapa kanak-kanak itu, Zaim Ikhwan Zahari, berkata pada awalnya anak guamnya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun pertuduhan dibuat atas kesalahan pengabaian.

Fahmi Abd Moin

"Siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih berjalan sehingga dapat siapa pelakunya dan ia tidak akan berhenti.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan teruskan siasatan untuk mencari siapa pelaku sebenar. Ini harapan daripada keluarga dan masyarakat,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, hari ini.

Ditanya sama ada pasangan itu boleh dituduh atas kesalahan membunuh seperti siasatan ke atas mereka sebelum ini, Fahmi berkata perkara tersebut bergantung kepada siasatan lanjut dan keputusan pihak pendakwaan.

Sementara itu, peguam Mahmud Jumaat yang mewakili ibu mangsa, Ismanira Abdul Manaf, berkata pertuduhan bunuh tidak dibuat ke atas pasangan terbabit kemungkinan disebabkan bukti serta keterangan saksi.

Mahmud Jumaat

"Pihak pendakwaan membuat keputusan untuk hanya tuduh mengikut Akta Kanak-Kanak. Adakah kemungkinan dituduh bunuh selepas ini, ia kuasa pihak pendakwaan tapi buat masa ini, itulah pertuduhan dihadapi kedua-dua tertuduh,” katanya.

Mengenai masalah kemurungan dihadapi pasangan berkenaan, Mahmud berkata mereka sedang menjalani rawatan psikologi selepas kejadian yang menimpa anak sulung mereka itu.

"Saya percaya depresi ini sudah berlaku sebelum (ditahan reman) ini. Mana-mana keluarga apabila kehilangan orang tersayang sudah tentu akan mengalami depresi. Saya juga percaya ibu bapa kepada Zayn Rayyan sudah dapatkan rawatan dari awal kes, lebih lagi mereka mempunyai seorang lagi anak yang juga autisme," kata peguam itu.

Menurut Mahmud, pasangan suami isteri tu berpuas hati dengan siasatan dijalankan oleh PDRM sepanjang tempoh reman selama 13 hari sejak 1 Jun lepas.

“Alhamdulillah, mereka gembira dan berpuas hati dengan siasatan PDRM. Mereka seperti orang ramai yang mahukan keadilan buat Zayn Rayyan," katanya.

Terdahulu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS