Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ibu bapa Zayn Rayyan mengaku tak bersalah abai anak

Ibu dan bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, Disember tahun lepas.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berumur 29 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan hakim Dr Syahliza Warnoh.

Kedua-dua mereka minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di Petaling Jaya, pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum pertuduhan dibacakan, jurubahasa mahkamah bertanya sama ada kedua-dua tertuduh sihat atau tidak, dan Zaim Ikhwan menyatakan sihat manakala Ismanira pula memaklumkan dia tidak sihat dan mengalami muntah.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Ku Hayati Ku Haron dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat masing-masing mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira.

Ku Hayati menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.

Fahmi pula memohon jaminan RM5,000 atas alasan tujuan jaminan hanya untuk kehadiran tertuduh di mahkamah selain bersetuju dengan syarat tambahan.

“Anak guam saya (Zaim Ikhwan) memberi sepenuh kerjasama kepada polis.

“Saya percaya mahkamah ini boleh menimbangkan prinsip-prinsip antara kepentingan umum dan kepentingan anak guam kami, sekiranya tidak dapat bayar jaminan, mereka kena hidup dalam penjara,” katanya.

Sementara itu Mahmud juga memohon jaminan rendah kerana Ismanira tidak bekerja dan dia mengalami kemurungan sangat teruk selain sedang mendapatkan rawatan untuk seorang lagi anaknya yang mengalami ‘speech delay’ dan autism teruk. 

Mahmud berkata Zaim Ikhwan juga dalam proses mendapatkan rawatan kerana mengalami kemurungan sangat teruk serta sedang bekerja untuk mendapatkan pendapatan bagi keluarga selain kedua-dua tertuduh tidak berisiko untuk melarikan diri.

Fahmi Abd Moin (kiri) dan Mahmud Jumaat

“Anak guam juga memohon agar Mykid seorang lagi anaknya yang kini berada pada pihak polis diserahkan kepada keluarga mereka untuk rawatan,” kata peguam itu.

Ku Hayati kemudian bangun dan berkata kesalahan itu serius mengambil kira kesan pertuduhan, dengan pengabaian sehingga membawa kepada kematian.

Selain itu, kedua-dua peguam turut memohon perintah larangan bersuara kepada masyarakat agar tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kes berkenaan.

Syahliza kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada 1 haribulan setiap bulan dan kedua-dua tertuduh atau wakilnya tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

“Mahkamah hanya membenarkan perintah larangan bersuara terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini sahaja dan Mykid seorang lagi anak kepada kedua-dua tertuduh diserahkan kepada ahli keluarga,” kata Syahliza yang turut menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan kes.

Pada 6 Dis lepas mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Ibu bapa kanak-kanak malang itu yang ditahan pada 31 Mei lepas di sekitar Puncak Alam, Selangor direman selama 13 hari bermula 1 Jun lepas bagi membantu siasatan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS