Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RCI Batu Puteh: Dr M beri keterangan hampir dua jam

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini tampil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Bekas perdana menteri itu tiba di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pada 10.46 pagi dan dilihat keluar selepas selesai memberi keterangan hampir dua jam.

Bercakap kepada media selepas itu, Dr Mahathir berkata satu sidang media akan diadakan di pejabatnya, Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

“Prosiding hari ini adalah tertutup, jadi saya tidak boleh cakap apa-apa, tapi saya akan berjumpa dengan press untuk membuat penjelasan berkenaan dengan pemikiran saya, yakni bukannya rahsia. Apa yang berlaku di sini (prosiding) adalah rahsia," katanya.

Beliau sebelum ini mengesahkan disapina untuk memberi keterangan kepada RCI berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Dr Mahathir berkata beliau dan peguamnya sudah menjangkakan akan dipanggil untuk menghadiri prosiding itu kerana menjadi pihak yang berkait dengan perkara yang dibincangkan RCI berkenaan.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Dr Mahathir supaya prosiding RCI bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dijalankan secara terbuka.

Hakim Datuk Amarjeet Singh juga menolak permohonan yang dikemukakan bagi menghalang Tun Md Raus Sharif daripada bertindak sebagai pengerusi RCI dan bagi menghalang Datuk Dr Baljit Singh Sidhu serta Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir daripada menjadi ahli RCI.

Mahkamah juga menolak permohonan pemohon (Dr Mahathir) untuk menangguhkan prosiding RCI sehingga penyelesaian akhir permohonan semakan kehakiman berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS