Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) mengecam SPRM kerana menahan dan mengganggu dua peguam yang bertindak untuk anak guam mereka berhubung pertikaian harta.
Pengarahnya, Zaid Malek merujuk kepada insiden yang Lai Chee Hoe mendakwa dia ditahan di lokap SPRM Putrajaya dari 4 hingga 6 Jun, dan siasatan suruhanjaya itu ke atas Irwin Lo.
Zaid berkata tindakan SPRM itu mencabuli hak profesional undang-undang untuk bertindak bagi anak guam dan mengganggu hak orang awam untuk mendapatkan peguam pilihan mereka.
"Peguam harus dibenarkan melakukan tugas mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih. Mengapa SPRM menakut-nakutkan peguam menjalankan tugas profesional mereka?
"SPRM tidak mempunyai kuasa untuk memanggil peguam yang bertindak untuk anak guam mereka memberi kenyataan dan menuntut dokumen mengenai kes itu. Ini adalah perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh SPRM.
"Peguam harus bebas menasihati anak guam mereka, supaya orang ramai yakin apabila mereka melibatkan peguam, atau melantik peguam tanpa rasa takut atau gentar kepada SPRM," kata Zaid pada sidang media di pejabat LFL di Petaling Jaya hari ini.
Semasa sesi soal jawab bersama media, Lai mendakwa pegawai SPRM datang ke pejabatnya pada petang, 4 Jun dan meminta surat pelantikannya mewakili anak guamnya itu berhubung isu pertikaian harta.
Lai mendakwa dia diminta datang ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan tetapi ditahan lewat malam itu. Dia hanya dibebaskan pada 6 Jun.
Dia mendakwa SPRM memberinya tiga syarat, antaranya supaya dia menarik diri daripada mewakili anak guamnya itu.
Ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menafikan agensi antirasuah itu mengganggu hak orang ramai untuk mendapatkan khidmat peguam. Sebaliknya, dia berkata, bahawa proses penyiasatan adalah mengikut peraturan yang ditetapkan.
Azam berkata penahanan Lai dan soal siasat ke atas Loh adalah berkaitan dengan siasatan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan badan pengurusan bersama sebuah hartanah.