Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PM dulu juga mahu laksana rasionalisasi subsidi, tapi tiada tekad politik'

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata kesemua perdana menteri pada masa lalu bersetuju tentang keperluan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi.

Katanya, perkara itu juga telah dibincangkan sejak 1990-an ketika dia menjadi menteri kewangan lagi.

Bagaimanapun, katanya, tidak ada perdana menteri sebelum ini sanggup melaksanakan langkah tersebut kerana ia bukan keputusan popular.

“Tak ada sesiapa mahu mengambil tindakan kerana ia tidak popular.

“Saya pergi ke Sungai Rokam, saya kena maki berbakul-bakul. Madani dah jadi 'Madanon.'

“Saya okay, tak masalah. Tapi saya jawab dengan fakta..

“Saya telah lalui liku- liku dan saya pun dah lewat 70an. Jadi apa yang saya buat.

“Saya nak buktikan bukan semua orang politik kaki sakau dan angkuh dan mendera rakyat,” katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Anwar berkata ahli politik mengambil cara mudah iaitu mengekalkan subsidi walaupun berlaku ketirisan semata-mata demi mendapatkan undi.

Namun, Anwar berkata dia yakin keputusan untuk menghapuskan subsidi menyeluruh akan membantu meningkatkan status negara ini.

“Jadi saya tak peduli kalau nak maki berbakul bakul selagi saya ada mandat I will do it. When the time says i have to go, i go (bila masanya tiba, saya akan pergi).

Anwar yang juga menteri kewangan turut menegaskan bahawa subsidi tidak lagi boleh disalurkan kepada golongan kaya dan warga asing.

“Bukan kena diskriminasi, tapi mereka tak bayar cukai tinggi, tanggungjawab utama kepada warganegara kita,” jelasnya.

Dia menambah penjimatan daripada langkah ini akan disalurkan semula untuk membantu golongan memerlukan dan bukan menaikkan elaun menteri.

Mengulas lanjut, Anwar berkata penjimatan itu akan membiayai kos pengangkutan awam, Sumbangan Asas Rahmah (Sara), dan sembilan juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Dimulakan ketika pentadbiran Abdullah

Bagaimanapun bercanggah dengan dakwaan Anwar, rasionalisasi subsidi telah dilaksanakan oleh perdana menteri sebelum ini, khususnya ketika pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.

Ketika itu, subsidi bahan api dikurangkan beberapa kali - dengan penyemakan semula harga yang kadangkala membawa harga lebih rendah - walaupun tidak dihapuskan sepenuhnya seperti dirancang pentadbiran Anwar.

Selepas kenaikan besar pada 2008, pentadbiran Abdullah juga memperkenalkan rebat tahunan yang dipindahkan kepada pengguna untuk mengimbangi kenaikan harga bahan api.

Seperti Anwar, Abdullah juga berkata susbsidi menyeluruh adalah tidak adil kerana menguntungkan golongan kaya dan dia juga mengambil langkah tidak popular itu demi kepentingan rakyat.

Perdana Menteri kelima itu juga mendakwa penjimatan daripada pemotongan subsidi akan digunakan untuk membiayai kos pengangkutan awam, tetapi kesan daripada langkah itu dipertikaikan oleh pengkritik.

Anwar juga mengkritik kenaikan harga bahan api yang diumumkan oleh Abdullah dengan mengatakan ia akan memberi kesan besar.

Dia juga malah mengecam rebat tahunan yang ditawarkan kerajaan pada masa itu.

Kerajaan pimpinan Anwar merancang pemberian subsidi bahan api bersasar bermula dengan diesel dan seterusnya menghapuskan subsidi menyeluruh bagi RON95.

Kos itu akan diimbangi dengan pemindahan tunai bulanan. Bagi pengguna diesel, rebat bulanan diberikan sebanyak RM200.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS