Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Daim Zainuddin dan keluarganya memfailkan permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman dalam usaha memaksa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengembalikan dan membatalkan tindakan membekukan akaun bank mereka.

Bekas menteri kewangan itu dan 23 pemohon lain memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Jun lalu.

Selain isteri Daim, Na'imah Abdul Khalid, pemohon lain ialah empat anaknya, dan 18 syarikat.

Sebanyak 18 syarikat tersebut ialah AAD Equity Sdn Bhd, Yayasan Haji Zainuddin, Ilham Baru Sdn Bhd, Anchor Point Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Adrihaniz Sdn Bhd, Syarikat Malur Sdn Bhd, Amiraz Sdn Bhd, Ridana Sdn Bhd, Daan Sdn Bhd, Maya Seni Holdings Sdn Bhd, Magical Zone Sdn Bhd, Permatang Maju (M) Sdn Bhd, Brainstorms Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Gajah3 Resource Centre Sdn Bhd, Ilham Tower Sdn Bhd, dan Selidik Jaya Sdn Bhd.

Selain Anwar dan SPRM, semakan kehakiman itu menamakan empat lagi responden, antaranya ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dan kerajaan persekutuan.

Menurut afidavit sokongan Na'imah yang dilihat oleh Malaysiakini, dia berkata mereka telah terjejas secara negatif dalam skala makro dan mikro disebabkan keputusan dan tindakan responden (termasuk keputusan untuk menyita dan membekukan akaun).

"Saya menyatakan bahawa segala keputusan-keputusan, tindakan-tindakan dan/atau kata-kata oleh Responden-Responden yang dinamakan dalam tindakan ini, merupakan satu perkara yang disengajakan untuk menyasarkan saya dan keluarga saya, dengan mengatakan bahawa Pemohon-Pemohon merupakan suatu keluarga yang korup di mana kami telah membuat kekayaan dengan cara yang salah di sisi undang-undang.

"Saya telah dinasihati oleh peguamcara saya dan saya sesungguhnya percaya dan menyatakan bahawa segala keputusan-keputusan, tindakan-tindakan dan/atau kata-kata oleh Responden Ke-4 adalah untuk tujuan kolateral politik (‘political collateral purposes’) semata-mata," katanya.

Dia menegaskan sehingga hari ini, mereka tidak didakwa di mahkamah atas kesalahan yang dikaitkan dengan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) (Akta AMLACFT) (Perintah Membekukan Harta).

Daim dan pemohon lain memohon pelbagai relif, antaranya untuk mengisytiharkan bahawa pembekuan akaun mereka adalah tidak sah kerana melanggar hak perlembagaan mereka dan didorong oleh mala fide (niat jahat).

Mereka meminta perintah mandamus untuk membatalkan tindakan pembekuan akaun mereka, serta ganti rugi am.

Permohonan kebenaran semakan kehakiman itu ditetapkan untuk dikemukakan di Mahkamah Tinggi esok.

Daim dan Na'imah kini menghadapi pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dakwaan gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan harta mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS