Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, hari ini menyatakan rasa sedih atas keputusan mendadak kerajaan mengapungkan harga diesel yang dijangka memberi kejutan besar kepada ekonomi, seterusnya membebankan rakyat.
Katanya kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 atau 56 peratus berbanding sebelum ini adalah amat tinggi dan tidak mengendahkan nasib rakyat yang cukup terbeban dengan inflasi dan kos sara hidup yang sudah tinggi.
"Peringatan saya di parlimen supaya pelaksanaan penyasaran subsidi langsung tidak diendahkan. Sedih di hati bukan kepalang apabila memikirkan kesan kepada rakyat.
"Kenaikan harga diesel secara mendadak ini akan mengakibatkan kejutan ekonomi yang akan merebak ke seluruh pelusuk negara dan menyebabkan kesan gandaan (multiplier effect) kepada sektor ekonomi dan sosial yang lain.
"Beban ini jika ditaksir mungkin kosnya kepada rakyat adalah jauh lebih besar daripada RM4 bilion yang dapat dijimatkan dari penyasaran subsidi ini. Apakah ini berbaloi?" katanya dalam kenyataan petang ini.
Bekas perdana menteri itu juga berkata sistem ekonomi negara ketika ini tidak efisien dan gagal diurus dengan baik oleh pucuk kerajaan.
Justeru, katanya, rakyat akan menghadapi kesulitan hidup yang lebih teruk.
Presiden Bersatu itu menambah, dia tidak yakin Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKDS) yang hanya terhad kepada kenderaan komersial tertentu sahaja dapat mengatasi masalah kenaikan kos dalam rantaian bekalan.
Ini hanya permulaan
Semalam, Putrajaya mengumumkan harga diesel di stesen minyak di Semenanjung Malaysia tidak lagi disubsidi bermula hari ini.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata harga diesel akan diapungkan dan mengikut harga pasaran - pada masa ini RM3.35 seliter. Sebelum pembatalan subsidi menyeluruh itu, harga diesel ialah RM2.15 seliter.
Harga diesel akan dikemas kini mengikut minggu, sama seperti petrol RON97.
Muhyiddin berkata, syarat-syarat yang dikenakan kerajaan ke atas penerima bantuan subsisidi diesel menerusi skim Budi Madani juga ketat yang boleh menyebabkan sebahagian besar pengguna tidak layak mendapat bantuan berkenaan.
Bagi yang layak menerima bantuan pula, katanya, jumlah RM200 sebulan diyakini pasti tidak memadai untuk menampung kenaikan harga diesel yang terlalu tinggi.
Akhirnya tambah Muhyiddin, kenaikan kos dalam rantaian bekalan akan tetap berlaku dan ditanggung sepenuhnya oleh pengguna.
"Penyasaran subsidi diesel tanpa langkah komprehensif untuk menampan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat adalah satu keputusan buruk yang dibuat oleh kerajaan. Kesannya akan dirasai serta merta.
"Ini hanya permulaan. Saya ingin mengingatkan bahawa rakyat akan lebih terbeban apabila kerajaan menarik balik subsidi RON 95 tidak lama lagi," katanya.