PAS Selangor menyelar TV Alhijrah kerana menggambarkan parti itu sebagai pelampau.
Kecaman itu dibuat setelah saluran agama milik kerajaan itu memuatkan petikan video penyokong mereka dalam rancangan bertajuk Tolak Ghuluw (pelampau), kelmarin.
“Penetapan agenda dalam video ini adalah sangat tidak beretika, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab,” kata Ketua Penerangan PAS Selangor Zurk Ahmad.
![](https://i.newscdn.net/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/06/402aff1c605388dbeaffd4d328923f28.jpg)
Ketika membicarakan sikap melampau dalam politik, rancangan itu antaranya memaparkan keadaan tolak-menolak antara penyokong PAS dan BN.
Alhijrah juga memuatkan insiden pergaduhan dalam parlimen Taiwan pada Mei lalu.
Dalam kenyataan semalam, Zurk menegaskan bahawa PAS bergerak dalam kerangka demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.
Mereka justeru menuntut agar TV Al-Hijrah membuat permohonan maaf secara terbuka kerana “mengelirukan umat Islam dan terpesong daripada hakikat yang sebenar”.
“TV Al-Hijrah sepatutnya membawa mesej Islam yang sebenar iaitu prinsip tabayyun (menyiasat dahulu) apabila menerima bahan dan sebelum menyiarkan bahan-bahan kandungan tersebut.
“Ternyata, TV Al-Hijrah telah gagal dan memerlukan latihan tambahan untuk tambah baik tatacara pengendalian pada masa akan datang,” katanya.
PAS juga berkata telah mengenal pasti penerbit program terlibat dan sedang mempertimbangkan tindakan lanjut.