Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cuepacs sokong syor PM tahan kenaikan pangkat jika rasuah tak dilaporkan
Diterbitkan:  Jun 10, 2024 3:35 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam dan Awam (Cuepacs) menyokong syor Anwar Ibrahim supaya tiada kenaikan pangkat bagi ketua jabatan jika wujud salah laku penjawat awam di bawahnya dan tidak dilaporkan.

Presidennya Adnan Mat berkata syor perdana menteri harus dilihat secara positif.

Adnan Mat

“Syor yang disarankan oleh perdana menteri meletakkan suatu tanggungjawab kebersamaan dalam setiap peringkat jawatan di sesebuah jabatan untuk memastikan tadbir urus dilaksanakan dengan baik dan berkesan tanpa pelanggaran integriti. 

“Syor ini sekiranya dilaksanakan kelak akan melahirkan penjawat awam yang sentiasa cakna terhadap tanggungjawab dan amanah yang digalas terutama dalam memastikan jabatan yang diselia sentiasa melaksanakan urus tadbir yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan berkata, Cuepacs berharap semua penjawat awam, tanpa mengira pangkat, melihat langkah ini secara positif terutama dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa berada dalam tahap yang terbaik.

Anwar membuat syor itu pada Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Jun di Putrajaya, hari ini.

Katanya, tanggungjawab untuk mencegah amalan salah laku tidak hanya terletak pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja, malah pada ketua jabatan dan ketua unit juga.

“Kalau nampak terang salah laku, kenapa ketua jabatan tidak lapor, kenapa ketua unit tidak tahu, saya kadang-kadang fikir kerana amalan ini sudah berlaku bertahun-tahun, mustahil tidak tahu,” katanya.

Bagaimanapun, Adnan dalam kenyataannya berkata, pembaharuan yang mahu dilaksanakan oleh perdana menteri itu tidaklah menggambarkan salah laku yang tinggi dalam perkhidmatan awam. 

Sebaliknya, katanya, ia sebagai suatu usaha untuk mentransformasikan perkhidmatan awam ke arah yang lebih baik. 

Dia juga menekankan kepentingan ketelusan dan akauntabiliti dalam perkhidmatan awam.

“Tidak wajar untuk pihak yang mempunyai kuasa menyembunyikan pelanggaran tadbir urus hanya semata-mata untuk menjaga nama baik sendiri atau individu tertentu. 

“Perkara ini hanya akan memburukkan lagi keadaan dan tidak menyelesaikan permasalahan yang berlaku. Sebagai penjawat awam tidak kira peringkat jawatan harus mempunyai kesedaran untuk membanteras salah laku dengan apa jua tindakan termasuklah melaporkan perkara tersebut untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS