Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan semakan Mahathir pada hari sama dipanggil hadiri RCI Batu Puteh

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan pada Rabu ini untuk membenarkan semakan kehakiman Dr Mahathir Mohamad bagi melucutkan bekas ketua hakim negara Md Raus Sharif dan dua yang lain daripada mempengerusikan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Keputusan mahkamah sivil itu hanya sejam sebelum RCI di Putrajaya tersebut ditetapkan untuk memanggil bekas perdana menteri berkenaan untuk menghadiri siasatan sama ada Malaysia sepatutnya menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) 2008 atau tidak.

Keputusan ICJ menganugerahkan kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Puteh, kepada Singapura, Middle Rocks/Batuan Tengah kepada Malaysia, dan South Ledge/Tubir Selatan kepada "negeri dalam perairan wilayah di mana ia berada".

Keputusan mahkamah sivil pada Rabu nanti oleh hakim Amarjeet Singh juga akan menentukan sama ada prosiding RCI diadakan secara tertutup atau dibuka kepada orang ramai dan jika Mahathir akan dibenarkan membawa peguamnya ke siasatan itu.

Amarjeet menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan lisan daripada peguam Mahathir, Zainur Zakaria dan peguam kanan persekutuan kerajaan persekutuan Shamsul Bolhassan berhubung merit semakan kehakiman.

Semasa prosiding mahkamah terbuka hari ini, Zainur mengemukakan hujah bahawa pengerusi RCI Raus dan dua lagi anggota suruhanjaya lain - Baljit Singh Sidhu dan Mohammed Ridha Abd Kadir - perlu dilucutkan kerana berkemungkinan akan berat sebelah.

Md Raus Sharif

Dalam afidavit Mahathir yang menyokong tindakan undang-undang itu, bekas perdana menteri tersebut mendakwa bahawa dia dan Raus pernah berselisih.

Ini kerana pada 2017, Mahathir memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Raus sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan. Ia sebab dia  telah melepasi umur persaraannya.

Selepas Mahathir menjadi perdana menteri bagi kali kedua, Raus dikatakan bertemu dengannya pada Mei 2018 untuk menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai ketua hakim negara dan kemudian menyerahkan peletakan jawatannya sebulan kemudian.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 12 Jun untuk keputusan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan 8.30 pagi untuk menyampaikan keputusannya, sejam sebelum Dr Mahathir dipanggil memberi keterangan di hadapan panel RCI pada hari yang sama.

Hakim menetapkan perkara itu selepas mendengar hujahan oleh peguam bekas perdana menteri Zainur Zakaria dan peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dr Mahathir memfailkan permohonan itu pada 5 Jun, menamakan pengerusi RCI Tun Md Raus Sharif dan timbalannya Tan Sri Zainun Ali sebagai responden pertama dan kedua.

Responden ketiga hingga kelapan ialah ahli RCI Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Prof Datin Dr Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha Ham Abd Kadir, Dickson Dollah dan Setiausaha RCI Zamri Misman

Beliau memohon perintah supaya prosiding RCI dalam pengendalian isu berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dijalankan secara terbuka.

Beliau juga memohon perintah bagi melarang Md Raus daripada bertindak sebagai pengerusi RCI dan menghalang Dr Baljit dan Mohammed Ridha daripada menjadi ahli RCI.

Dalam permohonan itu Dr Mahathir turut memohon deklarasi bahawa beliau adalah individu yang terlibat atau berkaitan dengan perkara yang disiasat oleh RCI di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Dalam prosiding hari ini Zainur berhujah bahawa anak guamnya telah dipersalahkan dalam media sosial kerana kononnya menjual negara, justeru prosiding itu mesti didedahkan kepada umum.

“Kenapa menyembunyikan kebenaran? Kami mahu prosiding itu terbuka kepada orang ramai, bukannya diadakan secara tertutup. Ia adalah kes kepentingan awam,” kata peguam itu.

Sementara itu Shamsul membantah dengan mengatakan bahawa kuasa bagi pembentukan RCI dan pelantikan pesuruhjaya terletak pada Yang di-Pertuan Agong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS