Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga diesel: PAS bimbang kemungkinan kesan negatif
Diterbitkan:  Jun 10, 2024 10:09 AM
Dikemaskini: 2:09 AM

PAS mengalu-alukan matlamat baik yang digariskan kerajaan berhubung langkah penyasaran subsidi diesel bermula hari ini menerusi pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, semalam.

Namun Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata pihaknya bimbang dengan pelaksanaan dasar itu.

"Pada masa sama (PAS) berasa perlu menyuarakan kebimbangan berkait pelaksanaannya, terutama sekali kemungkinan kesan negatifnya ke atas kehidupan rakyat.

"Selain itu, wujud kebimbangan berhubung kemampuan kerajaan sendiri untuk memastikan matlamat utama yang digariskan dicapai dalam tempoh yang munasabah," katanya pada satu kenyataan media.

Takiyuddin berkata PAS berharap golongan sasaran seperti pengeluar, perkhidmatan pengangkutan, petani, kumpulan berpendapatan rendah dan lain- lain akan diliputi sepenuhnya di bawah langkah pengecualian yang disediakan melalui proses pendaftaran yang mudah diakses.

“Ini termasuk peranan proaktif agensi terbabit memastikan mereka dikesan dan dibantu sewajarnya.

“Kerenah atau ketidakcekapan birokrasi misalnya tidak harus menjadi penghalang dalam hal ini,” katanya lagi.

Semalam Malaysiakini melaporkan menteri kewangan II berkata harga diesel akan diapungkan dan mengikut harga pasaran - pada masa ini RM3.35 seliter bagi stesen petrol seluruh Semenanjung Malaysia.

Harga baru itu membabitkan kenaikan RM1.20 berbanding harga bersubsidi RM2.15 seliter sebelum ini.

Selain itu harga diesel akan dikemas kini secara mingguan, sama seperti petrol RON97.

Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu berkata kebimbangan kedua pihaknya adalah soal kemampuan kerajaan menangani isu kebocoran serius yang berlaku, terutama daripada aktiviti penyeludupan diesel ke negara jiran yang dianggarkan berjumlah kira-kira tiga juta liter sehari.

Tegasnya agensi keselamatan di sempadan, termasuk Jabatan Kastam Diraja, mempunyai peranan besar yang perlu digembleng sepenuhnya bagi memperkukuh mekanisme penyasaran subsidi sebaiknya.

“Dalam pada itu, PAS juga berharap kerajaan akan meningkatkan peranan pemantauan dan penguatkuasaan domestik bagi menghalang pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga atau memanipulasi pasaran yang sudah tentu akan memberi kesan negatif ke atas ekonomi dan kehidupan rakyat.

“PAS percaya, langkah penyasaran subsidi diesel ini perlu dipantau keberkesanannya secara dekat oleh kerajaan dan semua langkah perlu hendaklah diambil segera sekiranya terdapat tanda-tanda perjalanannya terseleweng atau tidak menepati sasaran,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS