Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada lagi diesel subsidi di stesen minyak mulai tengah malam ini

Harga diesel di stesen minyak di Semenanjung Malaysia tidak lagi disubsidi bermula jam 12 tengah malam nanti (Isnin, 10 Jun).

Langkah ini tidak melibatkan Sabah dan Sarawak.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata harga diesel akan diapungkan dan mengikut harga pasaran - pada masa ini RM3.35 seliter.

Pada masa ini, ia dijual pada harga RM2.15 seliter - kurang RM1.20 daripada harga pasaran.

Harga diesel akan dikemas kini mengikut minggu, sama seperti petrol RON97.

"Dengan mekanisme penyasaran yang lebih tersedia, kerajaan kini sedia melaraskan harga diesel di seluruh negeri (di Semenanjung) bermula tengah malam, Isnin 10 Jun.

"Harga diesel di semua (stesen) petrol ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter, iaitu harga pasaran tanpa subsidi," katanya ketika mengumumkan pelaksanaan itu pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Amir Hamzah Azizan

Ia selaras dengan langkah kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar bagi diesel, dengan pengguna yang layak akan menerima bantuan tunai RM200 sebulan.

Bantuan pertama juga akan mula diagihkan mulai esok kepada kira-kira 30,000 pengguna.

Setiap pemilik persendirian akan menerima RM200 sebulan tanpa mengira berapa kenderaan diesel yang dimiliki, katanya.

Amir berkata lagi, mereka yang ada lebih satu kenderaan dan menggunakannya untuk perniagaan masih boleh memohon untuk kad fleet di bawah dua lagi inisiatif subsidi diesel, bagi pengangkutan wam dan sektor pengangkutan barangan.

Tiada Tarikh tutup permohonan

Amir berkata, permohonan untuk mendapatkan subsidi bersasar itu terus dibuka, dan menyeru sesiapa yang layak namun belum mendaftar dengan program Budi Madani untuk berbuat demikian.

"Bermula esok, 30,000 pemilik (kenderaan diesel) akan terima bantuan tunai bulanan RM200 yang pertama.

"Saya ingin tegaskan bantuan ini tiada tarikh tutup (permohonan), saya menyeru mereka yang berkelayakan untuk mohon bantuan ini," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Amir berkata penyelarasan subsidi perlu dilaksanakan bagi mengelakkan negara terus menanggung kerugian daripada penyelewengan dan penyeludupan diesel.

Ia selepas kerajaan membelanjakan kira-kira RM14 billion untuk subsidi diesel pada tahun lalu berbanding hanya RM1.4 billion pada 2019, walaupun tiada peningkatan drastik dari segi jumlah kenderaan diesel.

Amir berkata, kerajaan dijangka dapat menjimatkan RM4 bilion setahun dengan pelaksanaan penyelarasan subsidi diesel.

Ia selepas mengambil kira peruntukan untuk inisiatif Budi Madani dan dua lagi inisiatif untuk pengangkutan awam dan sektor pengangkutan barangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS