Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua guru, kelindan bas maut kemalangan bas dan treler

Dua guru dan seorang kelindan bas maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan sebuah treler di Lebuh raya Tun Abdul Razak, dekat Simpang Keratong, Muadzam Shah, tengah malam tadi.

Difahamkan bas berkenaan membawa rombongan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka untuk ke Terengganu.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Nor Azman Yusof berkata mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Hasnatul Adilah Hassan, 48, yang meninggal dunia di tempat kejadian manakala kelindan bas, Hadi Ashraf Mad Idris, 29, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Muadzam Shah.

Seorang lagi guru, Hamzah Ahmad, 60, disahkan maut ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Nor Azman berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu kira-kira jam 12.40 tengah malam.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila bas dari arah Seremban menghala ke arah Kuantan telah gagal memberhentikan kenderaan sebelum merempuh treler yang sedang menghala Segamat.

"Bas itu membawa 37 penumpang bersama dua pemandu dan akibat kemalangan berkenaan, seorang maut di lokasi kejadian manakala mangsa lain dihantar ke Hospital Muadzam Shah dan HTAA untuk rawatan lanjut," katanya pada satu kenyataan, hari ini.

Dia bagaimanapun berkata pemandu treler tersebut tidak mengalami kecederaan.

Saksi diminta hubungi penyiasat

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Nor Azman meminta saksi kejadian menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin, Inspektor Nurul Iffah Kamarudin di talian 019-9169509 atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan sama, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu jam 12.31 pagi.

"Operasi menyelamatkan mangsa kemalangan dilakukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah, Chini, Segamat dan Jempol.

"Turut sama dalam operasi menyelamat adalah daripada pasukan polis, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS