PAS mendakwa DAP sedang giat mengadakan program taklimat untuk kewarganegaraan yang disifatkan satu tindakan bahaya.
Ketua penerangannya Ahmad Fadhli Shaari berkata program untuk memudahcara bagi mendapatkan kerakyatan merupakan satu tindakan bahaya dan boleh diumpamakan sedang ‘membakar negara’.
"Ada parti sedang bakar negara, rakannya pula bantu marakkan api.
"Tindakan parti DAP yang sedang giat mengadakan program taklimat untuk kewarganegaraan sekaligus memudahcara untuk mendapatkan kerakyatan adalah merupakan satu tindakan bahaya dan boleh diumpamakan sedang membakar negara," dakwanya pada satu hantaran di media sosial hari ini.
Fadhli yang juga ahli parlimen Pasir Mas itu turut menggesa DAP menjelaskan secara terperinci apakah langkah yang dilakukan oleh individu bernama Yeap Choon Keong yang mendakwa dirinya ialah pengarah program kewarganegaraan DAP Pulau Pinang yang telah berjaya membantu mendapatkan kerakyatan untuk beberapa individu.
“Sepatutnya tugas yang begitu penting ini tidak boleh dilaksanakan oleh organisasi kepartian bahkan ia merupakan bidang khusus Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Mengikut data di dalam media sosial (Yeap) sendiri, pada bulan Mei 2024, sebanyak enam kes berjaya diselesaikan, lima kes pada bulan April dan tiga kes pada bulan Mac yang lepas.
“Mohon jelaskan, apa 'kabel' yang digunakan seingga mujarabnya usaha orang ini. Tidak cukupkah kaedah biasa di JPN dan KDN untuk menyantuni urusan ini,” soalnya.
Semalam Malaysiakini melaporkan program taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat DUN Stulang yang dijadualkan pada 30 Jun ini ditangguhkan selepas menerima kecaman.
Ini selepas poster program itu tular di media sosial dengan tuduhan ia merupakan usaha untuk memberi kerakyatan kepada warga asing.
Dipercayai kontroversi timbul disebabkan tajuk asal pada poster program berkenaan iaitu "Program Permohonan Kewarganegaraan."
Bagaimanapun tajuk program itu kemudian ditukar kepada ‘Taklimat dan Penerangan Kewarganegaraan.’
Menerusi hantaran di Facebook, Adun Stulang Andrew Chen (gambar atas) berkata taklimat tersebut sebenarnya diadakan bagi menangani isu individu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa dan sebab-sebab lain.
Bagaimanapun katanya, penganjuran program itu menimbulkan salah faham selepas posternya sebelum ini tular.
"Dengan ini dimaklumkan program taklimat dan penerangan kewarganegaraan yang dijadualkan pada 30 Jun ditangguhkan," katanya.
Terdahulu Pemuda Umno Johor turut memberi amaran kepada Andrew berhubung program kewarganegaraan anjurannya yang menimbulkan kecaman di media sosial.
Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambrose (gambar atas) menggesa program itu dibatalkan meskipun Chen mengumumkan program yang dijadualkan pada 30 Jun itu ditangguhkan.
"Jangan main-main... Kamu akan terkejut jika kamu cuba buat sesuatu yang lucu," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata PAS memberikan amaran keras untuk pihak yang sedang membakar negara ini.
Tegasnya, jangan sekali-kali berani melakukan tindakan bodoh jika tidak ingin berdepan dengan tindakan undang-undang di kemudian hari.
“Rakan-rakannya di dalam kerajaan juga jangan berpura-pura marah dan naik angin, kamulah yang sedang membantu menyemarakkan api,” katanya lagi.