Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiong kesal Liew tak pernah hadir mesyuarat utama MM2H
Diterbitkan:  Jun 9, 2024 9:46 AM
Dikemaskini: 1:46 AM

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing menyasarkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew berhubung kritikannya terhadap penyerahan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Tiong berkata ketika program MM2H menjadi topik hangat, dia harus menjelaskan walaupun telah beberapa kali memberikan undangan namun Liew tidak hadir untuk membincangkan permohonan MM2H di Sabah.

“Bukan sahaja menteri tidak hadir mesyuarat, beliau tidak mewakilkan seorangpun wakil ke meja untuk memahami keadaan.

“Ini suatu yang mengecewakan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew.

"Malah, berdasarkan beberapa semakan asas, sejak memegang jawatan menteri, Liew sangat jarang menghadiri mesyuarat yang diadakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Persekutuan (Motac)," kata Tiong pada hantaran di Facebook.

Dia mendakwa kritikan Liew terhadap pelaksanaan dasar itu berpunca daripada keengganannya untuk menghadiri mesyuarat berkenaan supaya dia dapat memahami butiran program berkaitan pendaftaran ejen.

Terdahulu Liew berkata Sabah berazam untuk meneruskan program MM2H negerinya sendiri dan berkata tiada percanggahan dengan dasar negara selepas Putrajaya menggantung operasi semua ejen berlesen yang mengendalikan program tersebut.

“Ia tidak akan melanggar undang-undang. Kami bertemu dengan imigresen, polis, semua pihak berkuasa yang berkaitan dan kami bersedia.

"Program saya ditangguhkan secara tidak perlu dan kita akan kalah kepada negara lain di sekitar Asia Tenggara yang sangat berminat,” katanya.

Liew juga mendakwa masalah itu timbul pada 27 Mei, beberapa hari sebelum pelancaran yang dirancang pada 1 Jun, apabila Motac membatalkan semua ejen berlesen MM2H sehingga diberitahu kelak yang menyebabkan Sabah seakan tergantung.

Tiong berkata Liew telah gagal mengambil langkah yang perlu untuk memahami sepenuhnya keseluruhan dasar itu.

“Saya sudah berulang kali menyeru Liew untuk menangani isu pelancongan di Sabah tetapi isu yang dibincangkan sebelum ini masih belum selesai.

Tiong: Adakah Liew alpa?

“Jika tugas-tugas asas tidak dikendalikan dengan baik, bagaimana kita boleh menarik pengunjung asing untuk merancakkan industri pelancongan,” soalnya.

Tiong berkata dia terpaksa bertemu dengan Ketua Menteri Sabah Mohd Hajiji Noor bagi membincangkan isu keselamatan pelancongan di negeri itu.

“Saya kesal kerana banyak isu pelancongan yang tidak dapat diselesaikan yang diamanahkan kepada Liew tidak dapat diselesaikan.

"Adakah menteri itu tenggelam dalam dunianya sendiri dan alpa dengan perkara penting," soalnya.

Tiong juga menasihatkan Liew sebagai menteri pelancongan Sabah supaya tidak terburu-buru mengkritik sebaliknya fokus dalam menangani isu keselamatan pelancongan terlebih dahulu.

“Saya telah berulang kali menjelaskan dalam kabinet bahawa ejen sedia ada MM2H mesti mendaftar semula diri mereka untuk menangani masalah lazim ejen menyewakan semula permit mereka atau menghilangkan diri dengan bayaran agensi yang dikutip.

"Saya mesti menegaskan bahawa pembaharuan visa MM2H tidak berkaitan dengan permit ejen MM2h. Bagaimanapun, kami mahu ejen MM2H mematuhi ketelusan dengan tegas termasuk mengutip yuran permohonan sebaik sahaja ia berjaya diluluskan.

"Permit ejen MM2H di Malaysia mesti dipohon semula dengan Motac selepas peraturan terkini dikeluarkan (atau diwartakan).

"Pembaharuan permit hanya diluluskan bagi mereka yang layak di bawah peraturan baru itu," kata Tiong lagi.

Tiong berkata dia telah memaklumkan kepada kabinet persekutuan bahawa kuasa dalam perkara ini akan diwakilkan kepada Sabah dan Sarawak.

Katanya, dia juga akan bertemu dengan pemimpin kerajaan negeri berhubung perkara itu.

“Motac dan pihak lain yang berkaitan telah meluangkan banyak masa dan usaha dalam merangka dasar bagi program MM2H yang mendatangkan banyak kesan sehingga tindakan sewenang-wenangnya tidak boleh diambil.

“Liew mesti bertemu dengan Motac untuk memahami sepenuhnya keadaan dan mengkaji semula isu yang boleh membawa kepada salah guna kuasa,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Liew untuk mendapatkan maklum balas terhadap dakwaan Tiong ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS