Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun DAP tangguh program kewarganegaraan lepas terima kecaman
Diterbitkan:  Jun 8, 2024 6:42 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

Program taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat DUN Stulang yang dijadualkan pada 30 Jun ini ditangguhkan selepas menerima kecaman.

Ini selepas poster program itu tular di media sosial dengan dakwaan ia merupakan usaha untuk memberi kerakyatan kepada warga asing.

Dipercayai kontroversi timbul disebabkan tajuk asal pada poster program berkenaan iaitu "Program Permohonan Kewarganegaraan."

Bagaimanapun tajuk program itu kemudian ditukar kepada "Taklimat dan Penerangan Kewarganegaraan."

Menerusi hantaran di Facebook, Adun Stulang, Andrew Chen berkata taklimat tersebut sebenarnya diadakan bagi menangani isu individu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa dan sebab-sebab lain.

Bagaimanapun katanya, penganjuran program itu menimbulkan salah faham selepas posternya sebelum ini tular.

"Dengan ini dimaklumkan program taklimat dan penerangan kewarganegaraan yang dijadualkan pada 30 Jun ditangguhkan," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Andrew merujuk kes di mana ada bapa rakyat Malaysia dan ibu warga asing dengan perkahwinan tidak sah taraf serta tidak dapat didaftarkan di Malaysia.

"Anak yang lahir pula tidak mempunyai sijil kelahiran, ibu tidak dapat dikesan. Akibatnya anak tidak dapat bersekolah, sukar mencari pekerjaan tetap, tidak layak memiliki kenderaan juga lesen memandu dan ia seterusnya dibimbangi akan membawa kepada masalah sosial.

"Dalam taklimat itu akan disediakan senarai dokumen yang diperlukan bagi setiap kes selain penerangan untuk merujuk kepada jabatan yang terbabit yang perlu dikunjungi dan sebagainya," katanya.

Sementara itu Chen yang juga Setiausaha DAP meminta tiada sebarang spekulasi liar disebarkan berikutan salah faham itu.

“Diharap tiada pihak menimbulkan sebarang spekulasi berikutan salah faham yang telah timbul dari tajuk poster kami sebelum ini,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS