Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Bentuk jawatankuasa khas untuk komuniti Bajau Laut’
Diterbitkan:  Jun 7, 2024 11:58 AM
Dikemaskini: 4:04 AM

Sekolah kelolalan komuniti Iskul Sama DiLaut Omadal mahu kerajaan membentuk satu jawatankuasa khas yang yang memberi tumpuan kepada komuniti Bajau Laut.

Desakan itu dibuat susulan dakwaan bahawa pihak berkuasa pada 4 dan 5 Jun lalu telah mengusir komuniti itu di tujuh pulau sekitar Semporna, Sabah dan rumah usang atas air mereka bukan sahaja dirobohkan tetapi juga dibakar.

Iskul Sama DiLaut Omadal, dalam satu kenyataan yang disiarkan di Instagram, mencadangkan jawatankuasa khas  itu memulakan perbincangan dengan Filipina dan Indonesia untuk membangunkan pendekatan kerjasama bagi melindungi dan melindungi Bajau Laut sebagai penduduk asli Laut Sulu dan Sulawesi.

“Pasukan petugas itu juga harus menjalankan kajian sejarah yang menyeluruh terhadap masyarakat Bajau Laut di rantau ini.

“Menganjurkan rundingan dengan pihak berkepentingan dari komuniti yang terjejas, dengan bantuan NGO yang relevan yang bekerja di lapangan.

“Ini memastikan suara mereka yang terjejas secara langsung didengar,” kata sekolah itu, yang tenaga pengajarnya terdiri kanak-kanak berdedikasi yang belajar di sekolah kerajaan mengajar rakan sebaya Bajau Laut mereka yang kurang bernasib baik.

Ia juga mengiktiraf kehadiran Bajau Laut yang sekian lama di Laut Sulu dan Sulawesi sebagai perantau laut dan bahawa nenek moyang mereka telah menjelajah perairan itu sejak turun-temurun - mengamalkan perikanan sara diri, mengumpul hasil laut dan menyumbang kepada ekonomi tempatan.

“Rekod sejarah, seperti yang didokumentasikan oleh Spenser St John dan Verschuer pada tahun 1862, mencatatkan pertemuan dengan Bajau nomad di pantai utara dan timur laut Borneo (Sabah). 

“Begitu juga, catatan abad ke-19 oleh Crawfurd menyebutkan Bajau nomad yang melawat semua bahagian Borneo Utara (Sabah masa kini), termasuk kawasan sekitar Malawali dan pulau-pulau sekitar di Sabah.

“Ikatan sejarah ini meluas ke kawasan Sulu dan Celebes, dengan Bajau Laut ditemui berhampiran pulau-pulau luar pesisir seperti Pulau Bum-Bum dan Pulau Mabul di Sabah 

“Secara khusus, laporan Dewall pada tahun 1849 mendokumentasikan pergerakan bermusim bot Bajau meliputi jarak yang jauh, menunjukkan mobiliti mereka,” katanya.

Masyarakat Bajau Laut mengamalkan gaya hidup nomad di laut. Mereka tinggal di bot kecil atau rumah yang dibina dengan kayu di pantai atau di perairan cetek.

Mereka ini telah dibelenggu oleh ketiadaan kewarganegaraan sejak sekian lama. Ini menghalang mereka daripada akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan bersubsidi di kemudahan kerajaan.

Pada Rabu, 5 Jun lalu, NGO Borneo Komrad berkongsi beberapa rakaman video berhubung dakwaan pengusiran di media sosial.

Antaranya, video berkenaan memaparkan beberapa lelaki sedang menolak sebuah rumah yang usang sehingga roboh, serta menunjukkan seorang perempuan merintih kerana kehilangan tempat tinggal dan memohon belas kasihan daripada "pihak di atasan".

Pengasas Borneo Komrad Mukmin Nantang, setetusnya mendakwa, mereka kini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah dan perahu mereka juga dibakar.

"Perahu mereka juga dibakar, jadi mereka tidak tahu nak pergi ke mana," kata Mukmin kepada Malaysiakini.

NGO hak asasi Pusat Komas turut menyelar dakwaan pengusiran itu, dan berkata tindakan seumpama itu membangkitkan isu kritikal yang dihadapi individu tanpa kewarganegaraan di Sabah dan layanan terhadap mereka.

Pusat Komas juga menekankan keperluan mengenal pasti pihak yang membuat arahan pengusiran itu dan mereka perlu dipertanggungjawabkan.

Menurut laporan RTM pada 2 Mei lalu, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata 18 koloni setinggan di Semporna akan dipindahkan ke Kampung Melantak Tutup sebagai inisiatif membasmi koloni seumpama itu di daerah berkenaan.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Isnin Aliasnih dipetik sebagai berkata, perkampungan seluas 89.42 hektar itu adalah lokasi yang sesuai untuk penempatan baharu bagi setinggan yang merupakan warga tempatan.

“Kita tunggu sahaja pelaksanaannya. Kita mahu Semporna lebih cantik, lebih sempurna,” katanya.

Sementara itu, pegawai daerah Semporna Alexander Liew, dalam laporan sama, berkata pihaknya akan mengenal pasti penduduk yang layak dipindahkan.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah (proses) pemprofilan, (untuk mengenal pasti) warganegara dan bukan warganegara. 

“Dianggarkan beribu-ribu orang, saya tidak dapat mendedahkan jumlah yang tepat tetapi ia adalah anggaran kira-kira 7,000 orang," katanya

Pada Mac lalu, Timbalan Ketua Menteri II Joachim Gunsalam berkata jawatankuasa setinggan negeri telah mengenal pasti 285 koloni  setinggan di Sabah, melibatkan 33,566 rumah dan 130,397 penduduk.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS