Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tujuh hari pada Jun tahun depan untuk perbicaraan penuh berhubung saman Muhammad Yusoff Rawther yang mendakwa dirinya diserang secara seksual oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurut peguam Navpreet Singh yang mewakili ahli parlimen Tambun itu, mahkamah sivil menetapkan perbicaraan akan dijalankan oleh hakim John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee, pada 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun tahun depan.
Katanya, timbalan pendaftar mahkamah telah memaklumkan pihak-pihak melalui e-mel hari ini mengenai tarikh perbicaraan bagi saman sivil itu, sambil menambah bahawa mereka sedang pada peringkat pra-perbicaraan dalam menyediakan dokumen.
Pada 2021, Yusoff memfailkan tindakan sivil berhubung dakwaan bahawa Anwar telah melakukan serangan seksual terhadapnya di pejabat presiden PKR pada Oktober 2018.
Sebelum itu, plaintif menjadi tumpuan apabila pada 4 Dis 2019
dia mengadakan sidang media dan mendedahkan akuan bersumpahnya yang mengandungi dakwaan serangan seksual oleh Anwar.
Jabatan Peguam Negara mengumumkan pada 14 Jan 2020, bahawa terdapat kekurangan bukti untuk mendakwa Anwar di mahkamah jenayah.
Dalam pernyataan tuntutannya untuk saman itu, Yusoff memohon perintah bahawa Anwar telah melakukan serangan seksual dan/atau pencerobohan terhadapnya.
Dia juga menuntut RM180 setiap sesi terapi, ganti rugi teladan, kos mahkamah, faedah lima peratus setahun ke atas sebarang jumlah ganti rugi yang diberikan, serta pelbagai kos atau ganti rugi lain.
Dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas yang difailkan pada September 2021, Anwar menolak dakwaan serangan seksual itu sebagai "palsu dan rekaan" serta didorong oleh niat untuk "mencemarkan imej politiknya dan untuk memastikan dirinya tidak menjadi perdana menteri".
Pada 7 Mei, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Yusoff untuk memaksa polis mendedahkan keputusan ujian poligraf yang diambilnya pada Disember 2019.