Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO gesa siasat dakwaan Islamkan budak sekolah
Diterbitkan:  Jun 6, 2024 11:14 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mendesak pihak berkuasa agama dan Kementerian Pendidikan untuk menyiasat dakwaan cubaan mengislamkan pelajar sekolah bukan Islam.

Ia susulan selepas pendakwah kontroversi Firdaus Wong memuat naik sebuah video di TikTok, yang memaparkan dia menasihati seorang lelaki tentang cara menangani permintaan untuk memeluk Islam daripada beberapa remaja.

S Shashi Kumar

Dalam satu kenyataan, Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) S Shashi Kumar membangkitkan kebimbangan mengenai aktiviti sedemikian, yang menurutnya mengabaikan hak ibu bapa untuk menentukan agama anak-anak mereka yang di bawah umur 18 tahun.

"Sebelum ini kita telah banyak membuat laporan polis terhadap pendakwah ini tetapi pihak polis tidak mengambil sebarang tindakan setakat ini.

“Justeru, GHRF menggesa Kementerian Pendidikan, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan badan-badan Islam lain di Malaysia untuk bertanggungjawab dan menyiasat perkara sedemikian dengan teliti.

"Penukaran agama secara berleluasa yang menyalahi undang-undang di Malaysia adalah isu serius yang perlu ditangani untuk melindungi hak kanak-kanak di bawah umur dan menegakkan standard etika dalam penukaran agama," katanya.

Awal minggu ini, Firdaus memuat naik video di TikTok yang menunjukkan dia terlibat dalam sesi soal jawab pada satu majlis.

Seorang lelaki, dipercayai juga seorang pendakwah agama, bertanya kepada Firdaus tentang apa yang perlu dilakukan apabila remaja bukan Islam di bawah umur mahu memeluk Islam.

Sehubungan itu, Firdaus berkata remaja itu sepatutnya dialu-alukan untuk memeluk Islam tetapi pengislaman mereka tidak boleh didaftarkan atau diumumkan. Dia turut berkongsi nasihat tentang bagaimana remaja itu boleh mengamalkan Islam secara berhemah supaya mereka dapat merahsiakannya daripada orang lain.

Menurut Shashi Kumar, video itu telah menerima kritikan dan beberapa netizen telah mengadu kepada NGOnya berhubung perkara itu.

"Nasihat atau cadangan oleh pendakwah itu bukan sahaja menimbulkan kebimbangan etika berhubung penukaran agama kanak-kanak di bawah umur secara senyap tanpa kebenaran ibu bapa tetapi juga sama ada nasihat atau cadangan itu bertentangan dengan undang-undang Malaysia dan juga Perlembagaan Persekutuan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS