Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tahanan rumah: Mahkamah benar Najib masuk afidavit tambahan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan ke 3 Julai keputusannya sama ada memberi kebenaran kepada Najib Razak untuk meneruskan semakan kehakimannya berhubung dakwaan titah addendum yang membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.

Penangguhan keputusan yang dijadualkan hari ini susulan keputusan hakim Amarjeet Singh pagi ini yang membenarkan permohonan Najib untuk memasukkan afidavit baharu oleh bekas perdana menteri itu serta afidavit oleh Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail bagi menyokong tindakannya.

Ketika ditemui media selepas prosiding hari ini, peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mengesahkan apa yang berlaku.

Jika kebenaran diberikan pada 3 Julai ini, mahkamah kemudiannya akan menetapkan tarikh untuk mendengar hujahan lisan pihak-pihak mengenai merit kes tersebut.

Adalah dilaporkan bahawa dalam afidavitnya, Wan Rosdy mendakwa bahawa dia juga diberitahu tentang dakwaan perintah addendum supaya Najib menjalani hukumannya di rumah.

Naib Presiden Umno itu berkata dia dimaklumkan mengenai titah tambahan itu oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 30 Jan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Najib untuk memasukkan dua afidavit tambahan dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkannya bagi mencabar kewujudan perintah adendum yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 agar bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Dua afidavit itu ialah sokongan diikrarkan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail serta ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Konvensyen 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor April lepas.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata Hakim Amarjeet Singh membenarkan permohonan Najib untuk memasukkan dua afidavit tambahan itu dan menetapkan tarikh baharu pada 3 Julai ini untuk keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman.

“Pihak AGC membantah dua afidavit itu yang ingin dimasukkan dalam pemohonan Najib (semakan kehakiman) kerana ia difailkan pada saat akhir iaitu semalam selepas mahkamah sebelum ini telah mendengar dan menetapkan hari ini untuk keputusan bagi permohonan itu.

“Namun, permohonan untuk memasukkan afidavit terbabit dibenarkan oleh mahkamah,” kata Shamsul ketika ditemui pemberita selepas prosiding yang dijalankan secara dalam kamar hari ini.

Sementara itu, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib mengesahkan afidavit berkenaan diterima oleh mahkamah.

Najib, 70, memfailkan permohonan itu pada 1 April lepas dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara lain, bekas perdana menteri itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Jan 2024.

Najib juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta-merta dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan di rumah.

Dia kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS