Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRK Sungai Bakap ujian sebenar untuk PH-BN, kata penganalisis

Selepas kejayaan mempertahankan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, penganalisis politik melihat pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Bakap adalah penanda aras yang lebih tepat untuk menentukan prestasi sokongan terhadap kerajaan PH-BN.

Pensyarah sains politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Zaharul Abdullah berkata ini kerana dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu, PN berjaya merampas kerusi Sungai Bakap yang dikuasai PKR sejak 2008.

Jelasnya, punca utama kemenangan PN itu adalah kerana sebahagian besar pengundi BN telah mengalihkan undi mereka kepada PN.

“Justeru, keupayaan PH-BN untuk menarik kembali undi pengundi BN adalah penanda aras penting bagi menunjukkan prestasi PH-BN dan menafikan gelombang hijau daripada PN,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Kerusi DUN Sungai Bakap diisytihar kosong selepas penyandangnya Nor Zamri Latiff dari PAS meninggal dunia pada 24 Mei lalu, selepas dimasukkan ke hospital kerana mengalami keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 6 Jun ini bagi membincangkan mengenai PRK itu.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia Zaharul Abdullah

Zaharul berpendapat terdapat tiga cabaran utama untuk memastikan PH-BN menawan kembali kerusi berkenaan.

“Pertama, sentimen Melayu Islam terancam di bawah pentadbiran kerajaan Madani. PH-BN perlu menepis sentimen ini dan meyakinkan pengundi Melayu bahawa kepentingan Melayu Islam kekal terpelihara.

“Kedua, peningkatan kos sara hidup disebabkan rasionalisasi bahan api diesel. Laungan keadilan sosial semata-mata tidak mencukupi tetapi ia perlu disusuli dengan peningkatan bantuan kepada rakyat terutamanya agihan tunai kepada kumpulan sasar.

“Ketiga, cabaran meyakinkan rakyat tentang prestasi dan pencapaian dasar-dasar kerajaan termasuklah langkah-langkah untuk menangani kos sara hidup,” katanya sambil menambah kerajaan perlu menunjukkan ‘scorecard’ supaya rakyat dapat menilai janji dan keberkesanan dasar dan tindakan (sepanjang pentadbirannya).

Zaharul berkata, kemenangan dalam PRK ini akan ditentukan oleh peratusan keluar mengundi susulan majoriti kecil yang dimenangi oleh PN dalam PRN lalu iaitu 1563 undi.

"Sekiranya peratusan keluar mengundi merosot dari 77 peratus (PRN 2023) kepada 72 peratus (atau lebih rendah) dalam PRK kali ini, saya melihat PH-BN mempunyai peluang yang tinggi untuk merampas kembali kerusi dari PN," katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof pula berpandangan dua hipotesis boleh diambil kira untuk meninjau situasi perebutan kerusi Sungai Bakap nanti.

Muhammad Izmer Yusof

Mengambil contoh keputusan dalam PRK Kuala Kubu Bharu, menurutnya, PH mengekalkan status quo kerana sokongan tepu oleh kedua-dua pihak namun PH berjaya meraih sokongan daripada penjawat awam.

"Persoalan sama ada undi sokongan PN dan PH sudah tepu ini bermakna tiada lagi peralihan undi baru. Keduanya keputusan undi awal di kalangan penjawat awam yang bekerja sebagai polis atau tentera adakah akan kekal berpihak kepada PH?

"Ini dua perkara pokok yang kita nak lihat di Sungai Bakap selain peratusan keluar mengundi yang akan mainkan peranan," katanya.

Selain itu tambah pensyarah Pusat Sains Liberal Unimap itu, PRK Sungai Bakap akan menjadi pelengkap kepada PRK di Kuala Kubu Bharu baru-baru ini.

"PRK Sungai Bakap akan menjawab persoalan sama ada PH berjaya atau tidak menarik sokongan undi Melayu berbanding PN, adakah sokongan pengundi Umno akan beralih semula kepada kerajaan Madani, atau kedua-dua pihak memiliki sokongan yang tepu?"

"Perlu diingatkan juga dengan 'kelesuan pengundi' susulan pilihan raya yang berterusan sejak 2022 hingga sekarang. Rakyat mungkin bosan dengan retorik sama ada PH atau PN.

"Ceramah-ceramah politik pun sudah tak meriah, selain isu-isu utama masih membelenggu rakyat seperti kos sara hidup, ekonomi, pembangunan, subsidi dan isu-isu membabitkan orang Melayu.

"Perkara-perkara inilah yang PH perlu cipta naratif untuk curi balik undi Umno ke peti undi PH. Saya lihat di Sungai Bakap ini, PH ada kelebihan sebab mereka kerajaan dan majoriti dimiliki PN kecil," ujar Mohd Izmer.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS