Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: Apa yang SKMM keliru sangat dengan hantaran FB saya?

Peguam yang berpangkalan di Pulau Pinang, Shamsher Singh Thind menempelak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), menyoal apa yang tidak benar dan mengelirukan tentang hantarannya yang telah disekat suruhanjaya itu di Facebook.

Dakwanya, SKMM tidak bercakap benar apabila mengatakan hantarannya itu telah melanggar garis panduan komuniti Meta kerana penyedia media sosial hanya mengehadkan siaran di negara berdasarkan undang-undang tempatan.

“Apa masalah dengan hantaran saya di sini?

“Apa yang mengelirukan? Hantaran saya sangat mudah,” katanya kepada Malaysiakini.


BACA BERKAITAN:

Tiada arahan dari timbalan menteri DAP isu padam tulisan - SKMM

Peguam dakwa hantaran kritik Yeoh disekat MCMC


Awal hari ini, SKMM berkata hantaran Facebook Shamsher telah melanggar garis panduan komuniti Meta.

Suruhanjaya itu pada satu kenyataan kepada Malaysiakini berkata tindakan itu diambil mengikut prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan aduan berhubung hantaran berkenaan, yang didakwanya mengandungi unsur “tidak benar dan mengelirukan”.

Hantaran Shamsher Singh Thind yang disekat itu berkaitan kontroversi Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti), sebuah firma yang dimiliki bersama suami Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Shamsher pada hantaran berikutnya merujuk kepada Teo, sambil menyatakan bagaimana timbalan menteri komunikasi itu membela Yeoh berhubung gesaan supaya Yeoh meletak jawatan.

Peguam itu juga menyoal Teo jika dia menggunakan SKMM untuk menutup mulut pengkritik rakannya.

Menjelaskan lanjut, Shamsher berkata dia hanya bertanya soalan dan tidak membuat sebarang tuduhan pada hantarannya itu.

Soalan itu munasabah memandangkan pembelaan Teo terhadap Yeoh baru-baru ini dibuat secara terbuka, katanya.

Katanya, hantaran berkenaan akan dipadamkan dan akaunnya akan menerima larangan jika dia benar-benar melanggar garis panduan komuniti Meta, berdasarkan pengalamannya yang pernah disekat Facebook sebelum ini.

“Anda tidak boleh mengatakan bahawa saya telah melanggar undang-undang.

“Tindakan SKMM untuk menyekat kebebasan bersuara dan berekspresi itu sama dengan saya dihukum,” katanya.

Asia Mobiliti dilantik sebagai salah satu daripada dua syarikat untuk menjalankan program Transit Responsif Permintaan (DRT), projek perintis percubaan bas atas permintaan, selama sembilan bulan.

Yeoh dituduh melakukan nepotisme dalam perkara itu.

Pada 29 Mei, Teo dilaporkan berkata gesaan supaya Yeoh meletak jawatan berhubung perkara itu adalah "tidak adil", sambil menambah masih terlalu awal untuk Yeoh berbuat demikian.

Asia Mobiliti berkata tiada kecurangan dilakukan dan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak tertentu yang telah menimbulkan keraguan terhadap proses pelantikan syarikat tersebut.

Seorang lagi pengasas bersama Asia Mobiliti, Premesh Chandran merupakan bekas CEO dan pengarah dan Malaysiakini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS