Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada arahan dari timbalan menteri DAP isu padam tulisan - SKMM
Diterbitkan:  Jun 4, 2024 6:23 PM
Dikemaskini: 10:59 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memadam kritikan seorang peguam berhubung kontrak pengangkutan Selangor kepada syarikat suami seorang menteri DAP atas alasan kandungannya “tidak benar dan mengelirukan”.

Suruhanjaya itu juga berkata mereka tidak menerima sebarang arahan daripada Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

“SKMM menolak dakwaan seorang pemilik akaun Facebook yang memberi gambaran seolah-olah kandungan yang dimuat naik beliau disekat atas arahan timbalan menteri komunikasi,” kata SKMM.

Teo Nie Ching

Peguam Shamsher Singh Thind pada 26 Mei lalu menyindir DAP dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh atas penglibatan suaminya, Ramachandran Muniandy, dalam projek yang tidak melalui tender terbuka.

Semalam dia berkata tulisan itu telah dipadam, sambil mempersoalkan sama ada Teo terlibat atau tidak dalam perkara itu.

Ramachandran terpalit dalam kontroversi program Transit Responsif Permintaan (DRT) untuk membekalkan perkhidmatan pengangkutan berdasarkan permintaan.

Ramachandran ialah ketua pegawai eksekutif Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti).

Dalam kenyataan petang ini, SKMM berkata mereka bertindak susulan aduan dan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Tanpa menghuraikan lanjut, suruhanjaya itu juga berkata pemilik akaun itu melanggar garis panduan komuniti Meta, syarikat pemilik Facebook.

SKMM menekankan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab perundangan untuk memastikan platform dalam talian tidak diguna pakai untuk perlakuan atau percubaan melanggar undang-undang.

Perkara itu, tambahnya, termasuk tindakan menyebarkan berita palsu serta berunsur fitnah.

SPRM sebelum ini berkata projek itu tidak mempunyai masalah kerana ia bukan diluluskan oleh kementerian yang diterajui Yeoh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS