Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan tubuh suruhanjaya ekonomi gig dibentang ke kabinet esok
Diterbitkan:  Jun 4, 2024 4:53 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Laporan interim pertama kajian penubuhan Suruhanjaya Pekerja Ekonomi Gig akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok, menurut Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata laporan yang disediakan dengan kerjasama Universiti Malaya itu merupakan kertas makluman kerangka kerja bagi penubuhan suruhanjaya berkenaan.

“Selepas ini kita akan mendapatkan input-input tambahan daripada Jemaah Menteri, maka kita akan membuat perincian lanjut dan kertas muktamad akan siap pada Ogos nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan memorandum persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Grab Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sim berkata pelanjutan tempoh pendaftaran dan caruman pekerja sempena Bulan Pemutihan selama sebulan hingga 30 Jun ini menyaksikan pertambahan hampir 50 peratus jumlah pendaftaran serta caruman.

Beliau berharap lebih ramai majikan tampil mendaftar dan membayar caruman pekerja mereka sebelum hujung bulan ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS