Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelantan gubal RUU mahkamah syariah lebih menyeluruh
Diterbitkan:  Jun 4, 2024 12:53 PM
Dikemaskini: 4:53 AM

Kerajaan Kelantan sedang menggubal rang undang-undang (RUU) pentadbiran mahkamah syariah baru yang lebih menyeluruh bagi menggantikan Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah (Negeri Kelantan) 1982.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata draf pindaan tersebut juga telah dibentangkan di mesyuarat ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Menurutnya, mesyuarat tersebut juga memutuskan jawatankuasa kerja yang khusus ditubuhkan bagi mengkaji semula penggubalan draf yang dicadangkan.

“RUU yang dicadangkan adalah lebih komprehensif. Oleh itu, penggubalan RUU tersebut adalah di peringkat kajian terperinci oleh bahagian undang-undang, pejabat setiausaha kerajaan negeri Kelantan.

“Kajian yang dinyatakan berkaitan keperluan empat atau lima peringkat mahkamah dengan mengambil kira pelaksanaan di negeri-negeri lain dari segi dasar atau perancangan masa hadapan oleh kerajaan persekutuan untuk proses penyeragaman dan pemerkasaan mahkamah syariah di Malaysia,” katanya ketika sidang DUN di Kota Bharu, hari ini.

Mohd Asri berkata demikian sebagai menjawab soalan Zameri Mat Nawang (PN-Tawang) berkenaaan status terkini cadangan pindaan RUU berkenaan.

Terdahulu, sebahagian daripada peruntukan Enakmen Syariah Kelantan dibatalkan Mahkamah Persekutuan pada Feb lalu selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan petisyen peguam dari negeri itu, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman untuk membatalkan 16 daripada 18 peruntukan dalam enakmen tersebut.

Mahkamah antara lain memutuskan DUN Kelantan melangkaui bidang kuasanya seperti yang termaktub dalam Senarai Negeri (Senarai II), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan ketika menggubal enakmen berkenaan.

Susulan itu, DUN Kelantan meluluskan usul untuk menggubal semula 16 perkara dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

Mohd Asri berkata penggubalan enakmen pentadbiran mahkamah syariah itu bagi menggantikan enakmen sedia ada akan membuka ruang dan jaminan pelaksanaan keadilan kes-kes syariah melalui institusi kehakiman mahkamah syariah setanding dengan mahkamah sivil.

“Antara aspek pemerkasaan mahkamah syariah dalam penggubalan enakmen ini adalah melalui cadangan peningkatan peringkat mahkamah daripada tiga peringkat kepada empat atau lima peringkat yang kini di peringkat kajian terperinci.

“Peningkatan ini adalah bagi memastikan peluang rayuan kes syariah adalah dua kali iaitu di Mahkamah Rayuan Syariah dan seterusnya ke Mahkamah Utama Syariah sebagai mahkamah tertinggi selepas Mahkamah Rayuan Syariah sedia ada,” katanya ketika soalan tambahan dikemukan Dr Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS