Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ali Rustam angkat sumpah sebagai TYT Melaka bagi penggal kedua
Diterbitkan:  Jun 4, 2024 11:18 AM
Dikemaskini: 3:18 AM

Tun Mohd Ali Rustam mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ke-7 bagi penggal kedua hari ini.

Istiadat angkat sumpah jawatan berkenaan disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka Datuk Anselm Charles Fernandis dan Pegawai Kewangan negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Salhah Salleh di Balai Istiadat, Kompleks Seri Negeri di Melaka.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Zuriyah Ab Aziz, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Ibrahim Durum, Hakim Mahkamah Tinggi Melaka Mohd Radzi Abdul Hamid dan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

Pada 28 Mei lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Mohd Ali sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka bagi penggal kedua, bermula 4 Jun 2024.

Istiadat pengurniaan itu berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara yang turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau akan menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka bagi tempoh empat tahun.

Mohd Ali, 75, sebelum ini dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ketujuh pada 4 Jun 2020 bagi menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob.

Mohd Ali, yang berkelulusan Ijazah Kepujian Sarjana Muda Kemasyarakatan (Ekonomi Pembangunan) dari Universiti Sains Malaysia (USM) pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Kesihatan dan Ahli Parlimen Batu Berendam sejak 1995 hingga 1999 dan Ketua Menteri Melaka ke-9 dari 1999 hingga 2013.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS