Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara kes pecah amanah Najib, Irwan Serigar ditangguhkan ke 19 Jun

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, menangguhkan perbicaraan kes pecah amanah terhadap harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion membabitkan Najib Razak dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah ke 19 Jun ini.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan penangguhan itu, kerana pasukan pembelaan kedua-dua tertuduh masih belum dibekalkan dengan dokumen berkaitan 48 saksi pendakwaan.

Penangguhan dua minggu itu, juga berikutan tiada bantahan yang dibangkitkan oleh timbalan pendakwa raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah dan K Kumaraendran memaklumkan mahkamah bahawa pasukan pembelaan tidak dibekalkan e-mel, surat dan memo mesyuarat kabinet yang akan dirujuk oleh saksi pendakwaan.

Najib, 68, dan Irwan, 64, pertama kali didakwa pada Oktober 2018. Bagaimanapun, perbicaraan mereka masih belum dimulakan sejak hampir enam tahun lalu berikutan pelbagai lagi kes jenayah Najib yang berterusan.

Mereka mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Mereka didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Hakim Muhammad Jamil membenarkan permohonan penangguhan kedua-dua peguam untuk menangguhkan kes berikutan terdapat lebih 100 dokumen belum diserahkan kepada pihak pembelaan.

Permohonan pembelaan juga tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.

“Perbicaraan ditangguhkan sehingga 19 Jun untuk memberi peluang kepada pihak pendakwaan untuk meneliti dokumen untuk diserahkan kepada pembelaan.

“Dua minggu memadai untuk pembelaan meneliti dokumen dan menyediakan pembelaan, perbicaraan akan bermula 19 Jun ini,” kata Hakim Muhammad Jamil.

Terdahulu, Kumaraendran berkata antara dokumen yang masih belum diterima ialah memo surat mesyuarat Kabinet, e-mel yang merujuk kepada pernyataan saksi pembelaan serta kenyataan yang dirakamkan saksi-saksi kepada pegawai penyiasat.

“Kami juga memaklumkan kepada pihak pendakwaan bahawa kenyataan beramaran itu telah dipinda oleh anak guam kami semasa siasatan...ia tidak pernah disampaikan kepada kami walaupun telah diberikan peringatan kepada mereka. Yang Arif, saya juga ingin memaklumkan kepada mahkamah bahawa abang ipar saya meninggal dunia hari ini dan sebagai abang sulung saya perlu berada di krematarium pada pukul 12 tengah hari,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shafee turut memohon mahkamah untuk menangguhkan perbicaraan hari ini kerana terdapat banyak lagi dokumen yang belum diserahkan oleh pihak pendakwaan.

“Kami menjangkakan pihak pendakwaan akan menyerahkan kepada kami (dokumen itu selewat-lewatnya hari ini). Terdapat tujuh jilid dokumen yang perlu disemak.

"Dokumen yang tidak ada ini akan menyebabkan banyak penangguhan sekiranya perbicaraan bermula hari ini. Melainkan sehingga kami melihat bagaimana pihak pendakwaan membawa kes menggunakan dokumen mereka, kami tidak dapat melihat keterangan dalam pembelaan kami,” kata Muhammad Shafee.

Muhammad Shafee berkata terdapat juga perbicaraan lain yang sedang dijalankan melibatkan Najib dengan pasukan pembelaan yang sama, iaitu kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan saman sivil SRC International Sdn Bhd.

“Bagi 1MDB, kami sedang dalam penyediaan penghujahan dan seluruh pasukan saya telah terlibat dan saya mesti katakan kami keletihan tetapi kami mengejar untuk menyelesaikan penghujahan itu pada bulan Julai.

“Kalau Yang Arif mahukannya, kita boleh pecahkan tarikh itu kerana ada hari antaranya, saya pasti kita boleh cari hari, jika tidak perbicaraan ini hanya akan bermula pada 2025,” katanya.

Pada peringkat ini, Muhammad Saifuddin berkata pihaknya telah menyerahkan dokumen sebanyak empat peringkat sejak 2018 sehingga 2021.

“Pada pagi ini, kita telah sediakan tujuh bundle dokumen untuk dirujuk kepada saksi-saksi dan serah kepada pembelaan untuk disemak semula, kalau tiada (dokumen) kami terpaksa rujuk kepada pegawai penyiasat sama ada kita pernah rampas atau ada dalam simpanan mereka. Untuk kelancaran perbicaraan ini, saya tidak membantah jika ia (perbicaraan) ditangguhkan,” katanya.

Pada 24 Okt 2018, Najib, 70, dan Mohd Irwan, 66, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS