Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenapa boikot Blackrock, bukan Apple? BDS jawab Zafrul
Diterbitkan:  Jun 4, 2024 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Syarikat pelaburan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Blackrock memang wajar diboikot atas beberapa faktor, kata gerakan Boycott, Divestment, Sanctions for Malaysia (BDS Malaysia).

Gerakan itu berkata demikian selepas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock, firma yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel, memiliki pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

BDS Malaysia berkata pergerakan itu menyasarkan Blackrock kerana ia mempunyai kepentingan besar dalam syarikat yang membekalkan senjata kepada Israel, iaitu Lockheed Martin, RTX, Northrop Grumman, Boeing, dan General Dynamics.

“Oleh itu, syarikat-syarikat ini dikategorikan sebagai pemudah genosid,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ia berkata Blackrock juga telah membuat pelaburan yang besar di Israel, termasuk firma British-Israel Kreos Capital yang membiayai syarikat permulaan berteknologi tinggi di Israel.

Ia juga mendakwa Ketua Pegawai Eksekutif Blackrock Larry Fink adalah penyokong kuat Israel.

“Lebih-lebih lagi, gerakan BDS mengamalkan strategi 'boikot bersasar', di mana hanya beberapa syarikat terpilih akan disasarkan untuk usaha boikot berdasarkan beberapa kriteria, termasuk tahap keterlibatan, ketersediaan pilihan untuk pengguna, dan kebarangkalian kejayaan.

“Berdasarkan pertimbangan di atas, gerakan BDS global tidak menyeru untuk memboikot produk Apple, WhatsApp atau Facebook,” tambahnya, merujuk kepada dokumen 2014 yang menerangkan kriteria sasaran pergerakan itu.

Dokumen itu mengatakan ia tidak memboikot semua produk kerana ia adalah mustahil dan oleh itu menggunakan pendekatan lebih strategik dalam memilih sasarannya.

“Jika demonstrasi boleh sebabkan kita lebih banyak musuh daripada kawan, kita abaikan. Jika bantahan 'artistik' yang bermaruah lebih berkesan, ayuh kita lakukan," kata dokumen itu.

BDS Malaysia menggesa Zafrul mempertimbangkan semula keputusan membenarkan Blackrock memiliki saham dalam MAHB, yang menguruskan 39 lapangan terbang di Malaysia.

"Syarikat yang bersubahat dengan pembunuhan beramai-ramai di Gaza tidak boleh dibenarkan memiliki sebahagian besar aset strategik kita," katanya.

Sebelum ini, sebuah konsortium yang terdiri daripada anak syarikat Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi dan Global Infrastructure Partners (GIP) telah mengumumkan tawaran untuk membeli saham MAHB dan menjadikannya sebagai syarikat swasta.

Khazanah dan KWSP mempertahankan pengambilalihan tersebut sebagai langkah untuk meningkatkan daya saing lapangan terbang Malaysia.

Pengarah Urusan Khazanah, Amirul Feisal Wan Zahir, juga menegaskan bahawa Blackrock masih belum memperoleh GIP.

Ini walaupun Blackrock mengumumkan pada Januari bahawa ia memperoleh sepenuhnya GIP dan dijangka memuktamadkan perjanjian itu menjelang suku ketiga tahun ini, iaitu antara Julai dan September.

Ketika dihubungi Malaysiakini, wakil Blackrock merujuk portal berita itu kepada laporan bertarikh 12 April yang menyatakan bahawa pengambilalihan itu masih mengikut perancangan untuk diselesaikan pada suku ketiga.

Dalam menghadapi tentangan terhadap pengambilalihan itu terutama oleh aktivis pro-Palestin dan Bersatu, Zafrul dilaporkan menegaskan bahawa Blackrock bukan milik Israel.

Sebaliknya, katanya dana kekayaan negara dari Abu Dhabi, Kuwait, Arab Saudi dan Qatar juga mempunyai kepentingan dalam pegangan saham Blackrock.

Dia juga menegaskan bahawa Blackrock adalah salah satu pemegang saham terbesar Apple.

“Semua yang memiliki (produk) Apple, jika anda benar-benar menentang, anda tidak sepatutnya menggunakannya. Siapa pemegang saham terbesar WhatsApp? Siapa pemegang saham terbesar Facebook?

“Jadi, di mana kita nak putuskan garis pemisah? Dalam dasar, di mana kita gariskannya?”soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS