Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Gua Musang: Bersatu tak jawab pertanyaan tujuh MP sokong PM
Diterbitkan:  Jun 3, 2024 10:11 AM
Dikemaskini: 2:12 AM

Ahli Parlimen Gua Musang Azizi Abu Naim berkata tujuh wakil rakyat Bersatu yang gagal menandatangani ikrar setia parti sebelum tarikh akhir 31 Mei yang ditetapkan sedang menunggu jawapan kepada pertanyaan mereka mengenai kesahihan notis yang diberikan kepada mereka.

Azizi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri memberitahu Buletin Utama TV3 malam tadi bahawa dia bercakap bagi pihak kumpulan itu dan mereka telah meminta parti menjelaskan notis itu tetapi tidak menerima jawapan.

Notis itu mengandungi arahan untuk setia pada parti dan menyokong dasarnya, serta tidak menyatakan sokongan kepada kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Azizi berkata kumpulan itu telah meminta penjelasan mengenai komposisi jawatankuasa khas yang akan meneliti respons mereka.

Selain Azizi, ahli Parlimen Bersatu lain yang mengisytiharkan sokongan mereka kepada Anwar ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Sementara itu, Adun Selat Klang Rashid Asari mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Dalam teks ringkas kepada Malaysiakini, Suhaili juga berkata: "Saya tidak membalas surat mereka kerana saya tidak perlu balas."

Pada 19 Mei, dia berkata dia tidak akan menjawab kerana keahlian partinya telah ditarik balik. "Saya tidak keluar parti. Apa yang kami mahu ialah peruntukan daripada kerajaan untuk kawasan kami. Kami tidak pernah bertukar parti. Kami hanya menyokong kerajaan semasa. Bagaimana ini salah?" katanya.

Semalam Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata parti itu akan memaklumkan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul pada persidangan bulan ini bahawa enam ahli parlimen itu telah digugurkan keahlian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS