Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kontena Israel bolos di pelabuhan Johor? Zahid arah siasatan segera
Diterbitkan:  Jun 2, 2024 1:20 PM
Dikemaskini: 5:20 AM

Siasatan terhadap dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri, Johor perlu disegerakan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata negara ini sangat terikat kepada dasar kerajaan iaitu tiada hubungan diplomatik dengan Israel, selain tiada sebarang perjanjian perdagangan dengan kerajaan Zionis itu.

Beliau berkata jika ada barangan Israel di mana-mana pelabuhan di Malaysia dengan menggunakan pihak ketiga, maka perkara itu harus dipantau pihak berkuasa.

“Saya fikir pihak lembaga pelabuhan dan pihak kastam harus bertindak dengan segera kerana kita tahu apa yang berlaku ini bukan hanya soal perdagangan tetapi soal bagaimana peraturan-peraturan yang begitu ketat telah terbolos dengan adanya barangan itu (kontena) untuk memasuki salah sebuah pelabuhan kita.

“Siasatan jika betul atau tidak mesti disegerakan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan pengoperasian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk di Hutan Melintang, dekat Bagan Datuk hari ini.

Semalam media melaporkan kewujudan kontena itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dilaporkan berkata beliau terkejut apabila menerima aduan penduduk prihatin yang mendakwa pelabuhan berkenaan masih menerima masuk kontena yang dibawa dari Israel.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS