Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Wakil rakyat Bersatu ingkar arahan akan terlucut keahlian
Diterbitkan:  Jun 1, 2024 8:05 PM
Dikemaskini: 2:35 PM

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin telah memberi amaran kepada wakil rakyat parti itu bahawa keengganan untuk akur arahan Majlis Pimpinan Tertinggi parti akan menyebabkan status keahlian mereka ditamatkan secara automatik.

Kata Muhyiddin, ini mengikut Perkara 10.4 Perlembagaan Bersatu yang dipinda baru-baru ini.

“Adalah diperingatkan bahawa mengikut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu, ketidakpatuhan wakil rakyat Bersatu terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi adalah disifatkan terhenti keahliannya dari parti secara serta-merta," katanya.

Dengan berbuat demikian, ahli parlimen Bersatu yang ingkar juga akan mencetuskan undang-undang antilompat parti mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan kerusi mereka akan dikosongkan.

Kenyataan Muhyiddin itu hadir sehari selepas tarikh akhir yang ditetapkan untuk semua wakil rakyat Bersatu mengembalikan surat Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi yang sudah ditandatangani sebagai ikrar taat setia mereka.

“Seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) telah menandatangani surat berkenaan dan menghantarnya kembali kepada Setiausaha Agung Bersatu dalam tempoh 14 hari.

"Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi ini dibuat selaras dengan pindaan Perlembagaan Bersatu yang telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini serta menepati kehendak Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan mengenai antilompat parti," katanya.

Semalam, dilaporkan satu jawatankuasa khas telah dibentuk untuk menyemak respons yang diterima, termasuk daripada tujuh ahli parlimen Bersatu yang memberikan sokongan mereka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Turut dilaporkan bahawa respons daripada tujuh orang itu dianggap tidak memuaskan.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang berikrar menyokong Anwar ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari turut mengumumkan sokongannya kepada perdana menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS