Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
OKU 'dipukul': Polis siasat dakwaan 3 laporan disediakan anggota sendiri - peguam

Peguam N Surendran berkata pihak berkuasa sedang menyiasat dakwaan pemandu e-hailing Orang Kurang Upaya (OKU), Ong Ing Keong disuruh menandatangani tiga laporan yang disediakan polis berhubung kes serangan terhadapnya.

Tiga laporan itu didakwa disediakan polis selepas dia membuat laporan pertama pada 28 Mei lalu, mendakwa dirinya diserang seorang pengiring Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

"Mereka (polis) sedang melihat perkara itu," kata Surendran yang mengiringi Ong ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bagi memberi keterangan, hari ini.

Surendran berkata demikian ketika ditanya jika polis turut menyiasat dakwaan yang dibuat terhadap anggotanya berhubung kes tersebut.

Surendran, Penasihat Lawyers for Liberty (LFL) Latheefa Koya, Setiausaha Agung Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia (Dawn) Anthony Chong, dan seorang jurubahasa isyarat bersama-sama Ong masuk ke IPD pada pukul kira-kira 11.50 pagi dan keluar lebih tiga jam kemudian.

Jurubahasa tersebut memberitahu polis menyoal siasat Ong selama hampir dua jam manakala rakan Ong, Phong Chang Kim memberi keterangan selama kira-kira 40 minit.

Menurut Phong, dia membantu Ong membuat laporan polis pertama menerusi panggilan video, dan ketika itu dia dapat melihat kesan lebam di muka pemandu e-hailing itu.

"Dia (Ong) pegang (mukanya) dan asyik kata sakit," kata Phong.

Katanya, dia membantu Ong membuat laporan polis itu memandangkan kawannya itu sukar menulis dalam Bahasa Malaysia.

"Saya bantu tulis ayat (untuk laporan) kerana Bahasa Malaysia saya sangat bagus. Jadi saya hantar apa yang saya tulis (kepada Ong) menerusi WhatsApp dan dia tunjukkannya kepada pegawai polis," katanya lagi.

Ong Ing Keong (dua dari kanan) ketika sidang media semalam

Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan Ong hanya memberikan maklumat untuk laporan pertama, manakala tiga laporan lagi didakwa disediakan oleh polis - dua laporan pada hari sama manakala laporan keempat keesokannya.

Sementara itu, Surendran berkata polis "secara kasarnya' telah melengkapkan 80 peratus siasatannya.

"Mereka (polis) kata akan lengkapkan siasatan secepat mungkin, mungkin pada minggu depan," katanya.

Kes ini mengundang perhatian apabila Ong didakwa dipukul oleh pengiring kerabat diraja Johor.

Semalam, sebelum sidang media Ong bersama LFL, Tunku Ismail bertitah bahawa insiden itu melibatkan pengiring keselamatan polis dan menggesa keadilan diberikan kepada mangsa.

Tunku Ismail juga menegaskan tidak akan membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain pula berkata Bukit Aman akan memanggil semua pegawai yang terlibat dalam siasatan kes itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS