Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail mendakwa terdapat gerakan mengheret institusi diraja dalam insiden dakwaan seorang pemandu orang kurang upaya (OKU) dipukul oleh pengiring baginda.
“Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar,” titah baginda.
Dalam kenyataan petang ini, baginda bagaimanapun tidak menghuraikan lanjut berkaitan “gerakan” itu.
Terdahulu, baginda bertitah bahawa insiden itu melibatkan pengiring keselamatan polis.
Menggesa siasatan menyeluruh dan berharap keadilan diberikan kepada mangsa, baginda menegaskan tidak akan membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika pegawai pengiring baginda didakwa memukul seorang pemandu Grab OKU di sebuah hotel di Selasa lalu.
Polis kelmarin mendedahkan membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu.
Beberapa jam selepas itu, polis bagaimanapun mengeluarkan kenyataan bahawa pengadu membuat laporan polis kedua yang berkata perkara itu selesai cara baik dan dia tidak mahu memanjangkan kes.
Bagaimanapun pelbagai pihak, termasuk ahli politik kerajaan dan pembangkang, NGO pekak serta kumpulan peguam mahu siasatan kes itu diteruskan.
Sebelum ini baginda turut dikaitkan dengan insiden serangan asid terhadap pemain bola sepak Selangor FC Faisal Halim.
"Confirm ni semua kerja TMJ dengan JDT. Mastermind dan tangan ghaib. Next apa pula Dr (CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon)?
"Cara terbaik nak tutup kegagalan selepas belanja RM47 juta duit kerajaan/rakyat setiap tahun mesti pandai buat cerita,” sindir baginda di media sosial.